Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura lapor 3,994 kes baru COVID-19, lagi 7 kematian

Singapura melaporkan 3,994 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Selasa (19 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lapor 3,994 kes baru COVID-19, lagi 7 kematian

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 19 Oct 2021 11:28PM Dikemas Kini : 19 Oct 2021 11:29PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 3,994 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Selasa (19 Okt).

Sebanyak tujuh lagi orang juga meninggal dunia disebabkan komplikasi virus itu.

Pesakit yang meninggal dunia terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 57 dengan 90 tahun. Tiga daripadanya tidak divaksin, seorang sudah mendapatkan satu dos vaksin manakala tiga sudah lengkap divaksin.

Enam kes mempunyai pelbagai penyakit yang lain. Kementerian Kesihatan (MOH) tidak memberikan perincian tentang penyakit yang dialami. Satu kes yang belum divaksin pula tidak menghidap sebarang penyakit lain.

Ini menjadikan jumlah kematian akibat koronavirus di Singapura meningkat kepada 246.

3,994 kes baru yang dilaporkan pada Selasa merupakan kenaikan daripada 2,553 kes yang dilaporkan pada Isnin. Ia merupakan kali pertama dalam tempoh empat hari jumlah kes baru meningkat.

Dalam kalangan kes baru itu, 3,981 merupakan jangkitan tempatan, termasuk 3,480 kes dalam masyarakat dan 501 di dormitori pekerja hijrahan.

Terdapat juga 13 kes import, menurut MOH dalam kemas kini yang dihantar kepada media pada sekitar pukul 10.40 malam.

"Ini merupakan lonjakan kes yang biasa berlaku selepas hujung minggu," menurut MOH sambil menambah ia akan "memantau kes dengan teliti sepanjang beberapa hari mendatang bagi menentukan jika ia adalah lonjakan sementara atau kenaikan lanjut kes jangkitan".

"Meskipun demikian, sepanjang minggu lalu, kami menyaksikan aktiviti yang meningkat termasuk lebih ramai pengunjung di pusat beli-belah, orang ramai berkumpul di kawasan Orchard Road serta umlah penumpang pengangkutan awam yang naik sedikit," menurut MOH.

MOH menyatakan jumlah warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang belum divaksin dan dijangkiti COVID-19 meningkat sepanjang beberapa hari lalu, hingga "mencecah lebih 100" sehari dan kumpulan warga emas itu berisiko jatuh sakit teruk.

"Jumlah pesakit yang memerlukan jagaan di ICU terus meningkat dan ini menambah tekanan dan bebanan kepada hospital," menurut MOH.

MOH menyatakan ia "amat" menggalak semua orang terutama sekali warga emas dan individu dengan pelbagai masalah penyakit yang lebih berisiko mendapat penyakit teruk, supaya mengehadkan aktiviti sosial dan keluar rumah hanya bagi urusan penting.

Setakat Selasa, Singapura melaporkan 154,725 kes COVID-19 secara keseluruhan sejak permulaan pandemik.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan