Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura lapor 3,598 kes baru COVID-19, 6 lagi kematian

Singapura melaporkan 3,598 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Sabtu (23 Okt) dan lagi enam kematian disebabkan komplikasi akibat virus tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lapor 3,598 kes baru COVID-19, 6 lagi kematian

Gambar fail: Marcus Mark Ramos

Diterbitkan : 23 Oct 2021 11:56PM Dikemas Kini : 24 Oct 2021 12:22AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 3,598 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Sabtu (23 Okt) dan lagi enam kematian disebabkan komplikasi akibat virus tersebut.

Kes kematian itu terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita, berusia antara 61 dengan 91 tahun. Empat daripada mereka tidak divaksin manakala dua sudah lengkap divaksin.

Kesemua mereka mempunyai pelbagai masalah perubatan lain. Kementerian Kesihatan (MOH) bagaimanapun tidak memberi perincian tentang penyakit yang mereka alami.

Kes kematian itu membawa angka korban akibat COVID-19 di Singapura kepada 300.

Jumlah kes baru hari ini merosot berbanding 3,637 kes baru yang dilaporkan pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, 3,594 adalah jangkitan tempatan, terdiri daripada 2,804 kes dalam masyarakat dan 790 di dormitori pekerja hijrahan.

Terdapat empat kes import, menurut MOH dalam kemas kini harian yang dikeluarkan kepada media pada sekitar 11.25 malam.

Setakat Sabtu, Singapura melaporkan 169,261 kes COVID-19 secara keseluruhannya sejak pandemik itu melanda negara.

KES DI HOSPITAL, PEMULIHAN DI RUMAH 

Dalam kalangan kes COVID-19 dalam masyarakat yang dirujuk atau dimasukkan ke hospital, 17,725 pesakit atau 70.4 peratus, menjalani pemulihan di rumah.

Lagi 4,796 sedang dirawat di kemudahan jagaan masyarakat dan 960 di kemudahan rawatan COVID-19.

Baki 1,680 pesakit dimasukkan ke hospital, sebahagian besarnya untuk dipantau, menurut MOH. Dalam kalangan mereka, 269 pesakit memerlukan bantuan pernafasan di wad biasa.

Memberikan butiran kes di unit jagaan rapi (ICU), MOH menyatakan keadaan 91 pesakit tidak stabil dan memerlukan pemantauan rapi bagi mengelak daripada bertambah teruk. Lagi 58 pesakit dalam keadaan kritikal dan perlu  diintubasi.

Maklumat itu adalah kategori baru yang disediakan MOH. Sebelum ini, ia hanya memberi jumlah kes di ICU tanpa memberi butiran tentang keadaan mereka.

Sepanjang 28 hari yang lalu, daripada 83,141 pesakit yang dijangkiti, 0.9 peratus memerlukan bantuan pernafasan dan 0.1 peratus dalam keadaan tidak stabil dan di bawah pemantauan di ICU manakala 0.1 peratus sakit teruk dan perlu diintubasi.

Dalam kalangan mereka yang memerlukan bantuan pernafasan atau dirawat di ICU, 46.4 peratus sudah divaksin sepenuhnya dan 53.6 peratus belum divaksin atau baru menerima satu dos vaksin.

Sebanyak 3,512 kes dibenarkan pulang pada Sabtu, yang mana 474 berusia lebih 60 tahun.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan