Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura lancar Pelan Hijau 2030, gariskan sasaran 10 tahun seterusnya

Pemerintah mendedahkan Pelan Hijau Singapura 2030 pada Rabu (10 Feb), satu "gerakan seluruh negara" untuk memajukan agenda nasional mengenai pembangunan mampan.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lancar Pelan Hijau 2030, gariskan sasaran 10 tahun seterusnya

Gambar fail tapak pembuangan Semakau (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 10 Feb 2021 05:10PM Dikemas Kini : 10 Feb 2021 05:16PM

SINGAPURA: Pemerintah mendedahkan Pelan Hijau Singapura 2030 pada Rabu (10 Feb), satu "gerakan seluruh negara" untuk memajukan agenda nasional mengenai pembangunan mampan.

Rancangan tersebut, yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), melakarkan sasaran hijau Singapura buat 10 tahun akan datang.

Ia juga memperkukuh komitmen Singapura di bawah Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perjanjian Paris, menurut lima kementerian itu dalam kenyataan bersama pada Rabu.

Rancangan ini juga menetapkan kedudukan Singapura bagi mencapai matlamat pengeluaran sifar bersih buat jangka panjang, "secepat mungkin".

Ini menyusuli pengumuman oleh Menteri Kanan Teo Chee Hean pada Februari tahun lalu bahawa Singapura mahu mengurangkan pengeluaran karbon yang dihasilkannya kepada separuh daripada paras kemuncaknya pada 2030, dengan tujuan untuk mencapai pengeluaran sifar bersih "secepat mungkin pada separuh kedua abad ini" .

Beberapa inisiatif baru di bawah rancangan itu termasuk mewajibkan model kereta tenaga bersih bagi semua pendaftaran kereta baru mulai 2030, dan meningkatkan jumlah tempat pengecasan kenderaan elektrik yang disasarkan kepada dua kali ganda menjelang 2030.

Rancangan itu berdasarkan matlamat 2030 Singapura untuk mengurangkan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan sebanyak 30 peratus, dan menyasarkan pengurangan lagi 20 peratus pada 2026, menurut kenyataan media.

SEKOLAH LEBIH HIJAU

Singapura juga akan menyasarkan untuk sekurang-kurangnya 20 peratus sekolah neutral karbon menjelang 2030 "sebagai satu permulaan", dengan sekolah-sekolah lain bakal menyusul, sebagai usaha ke arah mengurangkan pengeluaran karbon bersih sebanyak dua pertiga daripada sektor sekolah menjelang 2030.

Di sekolah-sekolah, Pelan Hijau akan disokong oleh program Eco Stewardship, untuk memperkukuh penyemaian minda dan tabiat yang "dilengkapi maklumat mencukupi, bertanggungjawab dan peka tentang kemampanan" dalam belia.

Pelan Hijau itu akan menjadi "rancangan hidup", kata kementerian-kementerian itu dalam kenyataan tersebut, yang berkembang sedang mereka membangunkan dan memperhalusi strategi-strategi Singapura. Ini akan mengambil kira perkembangan teknologi, dan menerapkan proses "penglibatan nasional yang berterusan".

Kementerian-kementerian itu akan "melibatkan secara aktif" orang ramai dan rakan-rakan lain untuk mengembangkan idea dan menjalankan inisiatif yang relevan sebagai sebahagian daripada proses penglibatan nasional ini, menurut kenyataan media.

Ini akan dimulakan dengan siri “Perbualan Pelan Hijau” tahun ini untuk mendapatkan pandangan warga Singapura dan untuk meneroka potensi kerjasama. Sesi-sesi itu akan diterajui oleh para menteri yang menyelia Pelan Hijau tersebut dengan program penglibatan lain juga akan dirancang sepanjang tahun.

Maklumat lanjut mengenai Pelan Hijau akan dikeluarkan semasa pembentangan Belanjawan akan datang pada 16 Februari, serta semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan di Parlimen.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan