Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura kutuk keras serangan nekad terhadap gereja Katolik Indonesia

Singapura mengutuk keras pengeboman yang berlaku di hadapan sebuah gereja Katolik di Indonesia pada Ahad (28 Mac), sambil menegaskan bahawa tiada alasan yang munasabah untuk mewajarkan keganasan sedemikian.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura kutuk keras serangan nekad terhadap gereja Katolik Indonesia

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 29 Mar 2021 08:54PM Dikemas Kini : 29 Mar 2021 08:56PM

SINGAPURA: Singapura mengutuk keras pengeboman yang berlaku di hadapan sebuah gereja Katolik di Indonesia pada Ahad (28 Mac), sambil menegaskan bahawa tiada alasan yang munasabah untuk mewajarkan keganasan sedemikian.

"Tiada alasan yang boleh mewajarkan keganasan sedemikian ke atas para mangsa yang tidak bersalah dan di tempat-tempat ibadat," kata jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Isnin (29 Mac).

Sekitar 20 orang cedera setelah dua pengebom nekad meletupkan diri mereka di luar sebuah gereja di bandar Makassar di pulau Sulawesi.

Letupan di luar Sacred Heart of Jesus Cathedral berlaku pada kira-kira pukul 10.30 pagi ketika para penganut sedang meninggalkan gereja setelah selesai satu upacara keagamaan. Kedua-dua penyerang itu cuba memasuki gereja berkenaan tetapi berjaya dihalang oleh seorang pengawal keselamatan, menurut paderi gereja tersebut.

Kedua-dua pengebom nekad itu dikenal pasti sebagai sepasang pengantin baru yang menganggotai Jamaah Ansharut Daulah (JAD), sebuah kumpulan pelampau yang mengikrarkan taat setia mereka kepada ISIS dan disyaki melakukan serangan bom ke atas gereja-gereja dan sebuah balai polis yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 30 orang di Surabaya pada 2018.

Pihak berkuasa berjaya memberkas sembilan orang yang mempunyai hubung kait dengan pasangan itu dan merampas lima butir bom dan bahan-bahan untuk membuat bom.

Setakat sehingga petang Isnin, 15 orang masih dirawat di hospital dan bakinya sudahpun dibenarkan pulang.

"Kami mendoakan mereka yang cedera akan segera sembuh dan Singapura menyokong usaha pemerintah Indonesia untuk menjaga keselamatan orang awam," kata jurucakap MFA.

Menurutnya lagi, tiada rakyat Singapura dilaporkan terjejas akibat kejadian itu.

Bagi sesiapa yang memerlukan bantuan konsulat, mereka boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Jakarta di +62 811 863 348 atau Pejabat Petugas MFA di +65 6379 8800/8855. Rakyat Singapura di luar negara diingatkan supaya mendaftar online dengan MFA.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan