S'pura ketatkan kawalan sempadan bagi pelawat dari wilayah Victoria di Australia
Singapura akan mengetatkan langkah kawalan sempadan bagi mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke wilayah Victoria, Australia, menyusuli kenaikan kes COVID-19 di sana, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (27 Mei).

(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Singapura akan mengetatkan langkah kawalan sempadan bagi mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke wilayah Victoria, Australia, menyusuli kenaikan kes COVID-19 di sana, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (27 Mei).
Mulai Sabtu (29 Mei) pukul 11.59 malam, para pelawat jangka pendek yang memegang Pas Perjalanan Udara dan mempunyai sejarah perjalanan ke Victoria dalam tempoh 21 hari sebelum berlepas ke Singapura tidak akan dibenarkan masuk ke negara ini.
Rakyat Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang dengan sejarah perjalanan ke Victoria dalam tempoh 21 hari sebelum keberangkatan perlu menjalani ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) COVID-19, notis jangan keluar rumah selama tujuh hari di tempat kediaman mereka dan ujian PCR COVID-19 sebelum penghujung tempoh notis jangan keluar rumah mereka.
Para pelawat lain yang berlepas dari Australia dan berada di Australia (kecuali wilayah Victoria) dalam tempoh 21 hari sebelum perjalanan perlu menjalani ujian COVID-19 sebaik tiba di lapangan terbang, sebagai ganti notis jangan keluar rumah.
"Disebabkan oleh kenaikan kes yang diperhatikan di wilayah Victoria, Australia, kami akan mengetatkan langkah kawalan sempadan bagi para pelawat dengan sejarah perjalanan ke (wilayah itu)," menurut MOH.
MOH menyatakan ia akan terus melakukan penyesuaian terhadap langkah sempadan Singapura untuk mengawal risiko import dan jangkitan dalam masyarakat sedang situasi global COVID-19 terus berubah-ubah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.