Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura 'kecewa' dengan langkah PBB longgarkan kawalan terhadap ganja: MHA

Singapura kecewa dengan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengeluarkan ganja dari kategori ubat narkotik yang paling terkawal ketat.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Dec 2020 04:54PM Dikemas Kini : 03 Dec 2020 09:26PM

SINGAPURA: Singapura kecewa dengan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengeluarkan ganja dari kategori ubat narkotik yang paling terkawal ketat.

Demikian menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan media pada Khamis (3 Dis).

Semasa Suruhanjaya tahunan PBB mengenai Dadah Narkotik (CND), anggota negara mengundi 27-25 dengan satu berkecuali bagi Cadangan 5.1, yang memperuntukkan bahawa ganja dan resin ganja dikeluarkan dari Jadual IV Konvensyen 1961 - satu teks global yang mentadbir kawalan dadah.

"Singapura kecewa dengan hasil keputusan ini," kata MHA. "Tidak ada bukti kukuh untuk menyokong saranan berkenaan, termasuk Cadangan 5.1."

Undian itu menyusuli cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa "ganja dan resin ganja harus dijadualkan pada tahap kawalan yang akan mencegah bahaya yang disebabkan oleh penggunaan ganja namun pada masa yang sama tidak menghalang akses dan untuk penyelidikan dan pengembangan persiapan bahan berkaitan ganja untuk penggunaan perubatan ".

Dadah lain dalam Jadual IV termasuk heroin, analog fentanyl dan opioid lain yang berbahaya dan sering membawa maut.

"Penerimaan Cadangan 5.1 boleh memberi isyarat salah bahawa pendirian CND terhadap ganja kini kurang tegas dan menambah salah tanggap awam terutamanya dalam kalangan golongan muda, bahawa ganja tidak lagi dianggap berbahaya seperti sebelumnya, meskipun terdapat bukti kuat sebaliknya," ujar MHA.

Kementerian itu menekankan bahawa langkah tersebut tidak akan memberi kesan kepada pendirian Singapura yang tetap dengan 'toleransi sifar' terhadap dadah.

Kovensyen pengawalan dadah antarabangsa membenarkan kelonggaran kepada negara-negara untuk melaksanakan langkah-langkah kawalan lebih ketat di negara masing-masing berbanding yang ditetapkan di konvensyen.

Wakil Tetap Singapura ke PBB Umej Bhatia menyampaikan kenyataan negara ini di sesi CND, yang menekankan kedudukan tegas Singapura berhubung perkara ini, menurut MHA.

Setiap orang harus mempunyai hak untuk hidup dalam sekitaran yang bebas dadah, kata MHA. "Dadah terlarang termasuk ganja adalah berbahaya, menyebabkan ketagihan dan memusnahkan kehidupan, keluarga dan masyarakat."

Singapura mempunyai undang-undang dadah yang ketat berkaitan pengedaran, memiliki, mengambil dan mengeksport serta mengimport dadah terlarang termasuk ganja, "yang kami percaya adalah cara terbaik melindungi rakyat Singapura", kata MHA.

Langkah-langkah tersebut berjalan dengan baik dan berkesan dalam memastikan keadaan dadah di negara ini terkawal "meskipun keadaan di peringkat global dan serantau semakin merosot dengan ketara".

Pada masa yang sama akses terkawal bagi pilihan rawatan akan terus dibenarkan bagi tujuan perubatan, tambah MHA.

Singapura juga, tahun lalu, tidak menyokong enam saranan yang dibuat jawatankuasa pakar WHO mengenai penggantungan pada dadah, kata MHA.  

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan