S'pura ke arah Fasa 3, tetapi kekal DORSCON Jingga 'buat masa ini': Gan Kim Yong
Sementara pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 melakarkan peta hala tuju ke arah Fasa 3, negara ini akan kekal pada Keadaan Sistem Tindak Balas Penularan Penyakit (DORSCON) Jingga "buat masa ini", kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Isnin (5 Okt).
SINGAPURA: Sementara pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 melakarkan peta hala tuju ke arah Fasa 3, negara ini akan kekal pada Keadaan Sistem Tindak Balas Penularan Penyakit (DORSCON) Jingga "buat masa ini", kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Isnin (5 Okt).
Beliau menjawab soalan di Parlimen tentang sama ada Singapura akan melonggarkan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19.
"Meskipun kita sedang beralih ke Fasa 3, kelaziman baru akan berbeza daripada apa yang kita sudah terbiasa sebelum COVID-19 berlaku," katanya. Encik Gan menambah bahawa pasukan bertindak berbilang kementerian akan memberikan lebih banyak butiran mengenai peta hala tuju Fasa 3 dalam beberapa minggu akan datang.
Berhubung sama ada Pemerintah akan mengkaji semula kedudukan DORSCON negara ini, Encik Gan berkata tahap DORSCON "bukan hanya ditentukan oleh jumlah kes semata-mata".
"Pada waktu ini, khususnya kita perlu maklum bahawa meskipun jumlah kes di Singapura adalah rendah, kes-kes di sekeliling kita, bahagian lain dia dunia, terus meningkat. Oleh itu, kita tidak boleh lalai.
"Saya akan terus mengekalkan DORSCON Jingga buat masa ini, sehingga kami agak yakin situasi di dunia terkawal," katanya.
"PENDEKATAN BERHATI-HATI DALAM PEMBUKAAN SEMULA"
Encik Gan berkata Singapura mempelajari "pengajaran sangat penting" daripada negara-negara lain dalam melonggarkan langkah berjaga-jaga COVID-19 dan tindakan untuk melakukannya "terlalu awal atau terlalu tergesa-gesa" boleh menyebabkan kes meningkat semula, menyebabkan sebahagian sekatan dikenakan semula.
Namun, sekatan ketat untuk "tempoh berpanjangan", juga tidak dapat dikekalkan kerana ia akan "menjejas teruk" ekonomi dan kehidupan, katanya.
Maka itu, Pemerintah mengambil "pendekatan yang disesuaikan secara berhati-hati dalam membuka semula masyarakat dan ekonomi", meskipun ia menuju ke Fasa 3, katanya.
"Ini dilengkapi dengan pemantauan teliti, ujian meluas dan penjejakan menyeluruh orang-orang yang berhubung rapat dengan pesakit bagi memastikan keadaan terkawal, sedang kami mengimbangi perlindungan terhadap kehidupan dan mata pencarian."
Beliau menambah Pemerintah sudah melakukan "langkah-langkah penting" dalam memulihkan kegiatan ekonomi dan sosial, seperti membenarkan lebih ramai pekerja kembali ke tempat kerja mereka.
Namun bagi memastikan tempat-tempat kerja "selamat" dan "mengurangkan kesesakan", para pekerja patut terus bekerja dari rumah untuk sekurang-kurangnya separuh daripada waktu bekerja mereka, dan tidak lebih daripada 50 peratus pekerja sedemikian seharusnya berada di tempat kerja pada satu-satu masa, katanya.
Acara berkaitan pekerjaan, termasuk persidangan, seminar dan mesyuarat, turut dibenarkan untuk disambung semula, tambah Encik Gan, namun dihadkan kepada 50 orang.
KUMPULAN LEBIH BESAR DIBERI PERTIMBANGAN
Sementara Pemerintah "khususnya prihatin" terhadap kegiatan menjamu selera di luar, kerana orang ramai menanggalkan pelitup untuk makan namun berbual pada waktu yang sama, ia mungkin menimbangkan untuk membenarkan kumpulan-kumpulan terdiri daripada lebih lima orang, kata Encik Gan.
"Jika kita semua terus bekerjasama dan terus berwaspada meskipun sedang lebih banyak kegiatan dijalankan semula, kita akan dapat terus mengawal pandemik ini dan membuat kemajuan ke arah pembukaan semula ekonomi dan masyarakat secara stabil," katanya.
Beliau menambah bahawa Pemerintah sudah pun mula merintis penganjuran acara dan kegiatan dengan jumlah pengunjung yang lebih ramai seperti pameran perdagangan, persidangan dan khidmat keagamaan. Jika percubaan itu menunjukkan bahawa mereka boleh "mengekalkan langkah berjaga-jaga dan jarak selamat secara berkesan", Pemerintah mungkin akan membenarkan lebih banyak acara berskala besar dijalankan, katanya.
Perjalanan ke luar negara juga akan diperluaskan dengan "cara selamat dan disesuaikan".
"Memandangkan sekatan perjalanan ke luar negara dilonggarkan secara bertahap-tahap dan lebih banyak kegiatan disambung semula, ia menjadi lebih penting bagi setiap orang memainkan peranan mereka dalam mengamalkan tanggungjawab sosial dan mematuhi langkah pengurusan selamat, supaya kita dapat memastikan keselamatan keluarga dan teman-teman sedang kita menuju ke Fasa 3," kata Encik Gan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.