S'pura jalankan ujian tawar khidmat pengesahan wajah bagi tujuan urus niaga
Pemerintah sedang menjalankan ujian untuk menawarkan pengesahan wajah sebagai satu khidmat.
SINGAPURA: Pemerintah sedang menjalankan ujian untuk menawarkan pengesahan wajah sebagai satu khidmat.
Khidmat tersebut memberikan perniagaan dan agensi-agensi awam satu lagi cara untuk mengesahkan identiti bagi tujuan urus niaga dan dalam masa yang sama meningkatkan pengalaman para pelanggan.
Dari memasuki ke tempat kerja hingga memeriksa kehadiran di dalam kelas, inilah antara cara teknologi pengesahan wajah digunakan di seluruh dunia.
Dengan Singapura kini menuju ke arah visi Negara Bijak, pihak berkuasa sedang menimbangkan untuk menyediakan khidmat pengesahan wajah jika percubaan ke atasnya berjaya.
Lazimnya, pengesahan wajah memerlukan sesebuah syarikat mengumpul data wajah untuk dipadankan.
Namun kini, ia tidak perlu kerana khidmat tersebut dikendalikan oleh pemerintah.
Oleh itu, perniagaan yang menggunakan khidmat tersebut tidak perlu membina sistem tersebut dari asas.
Jika isu privasi menjadi keprihatinan, pemerintah memberi jaminan bahawa proses pengesahan wajah memerlukan keizinan para pengguna.
Ia juga tidak akan mendedahkan data biometrik tersebut kepada perniagaan-perniagaan.
Perniagaan-perniagaan hanya akan dapat tahu sama ada wajah seseorang berjaya dipadankan.
Pemerintah juga belum mendedahkan bagaimana perniagaan-perniagaan boleh menggunakan khidmat pengesahan wajah tersebut.
Namun, ia menyatakan percubaan sedang dijalankan dengan agensi-agensi seperti Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dan Hab Tampines Kita.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.