S'pura jalankan pemeriksaan lebih ketat selepas bahan radioaktif hilang di M'sia
Pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan lebih ketat di pusat-pusat pemeriksaan selepas satu alat perindustrian mengandungi bahan radioaktif dilaporkan hilang di Malaysia baru-baru ini.

Pusat Pemeriksaan Woodlands.
SINGAPURA: Pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan lebih ketat di pusat-pusat pemeriksaan selepas satu alat perindustrian mengandungi bahan radioaktif dilaporkan hilang di Malaysia baru-baru ini.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan hari ini (23 Ogos) bahawa ia terus memantau kes tersebut, sambil menambah bahawa semua pusat pemeriksaan dilengkapi dengan keupayaan untuk mengesan ancaman-ancaman radioaktif.
"Misalnya, para pegawai ICA menggunakan peralatan-peralatan seperti pengimbas dan pengesan menggunakan tangan untuk memeriksa kadar radiasi dalam kargo, kenderaan dan pelancong yang memasuki Singapura," kata jurucakap ICA, menjawab pertanyaan Mediacorp.
Peranti seberat 23 kilogram, yang mengandungi unsur logam radioaktif, dilaporkan hilang dari sebuah trak pada 10 Ogos. Ia dipindahkan dari Seremban ke Shah Alam.
Peranti yang hilang itu mencetuskan kebimbangan tentang pendedahan radiasi, atau kemungkinan ia digunakan sebagai senjata oleh para militan.
Namun, polis Malaysia menyatakan bahawa tiada tanda-tanda peranti itu jatuh ke tangan pengganas. Siasatan masih dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.