S'pura import sekitar 17 juta botol air dari M'sia sebulan: Masagos
Singapura mengimport sekitar 17 juta botol air setiap bulan dari Malaysia sahaja, kata Encik Masagos Zulkifli pada Isnin (4 Nov), menukil perangkaan terkini oleh Agensi Makanan Singapura (SFA).
Gambar hiasan air botol (Gambar: AFP/Frank Fife)
SINGAPURA: Singapura mengimport sekitar 17 juta botol air setiap bulan dari Malaysia sahaja, kata Encik Masagos Zulkifli pada Isnin (4 Nov), menukil perangkaan terkini oleh Agensi Makanan Singapura (SFA).
Menteri Sekitaran dan Sumber Air berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Anggota Parlimen Dilantik Mohamed Irshad, yang bertanya tentang rancangan Pemerintah untuk memasang lebih banyak balang air (water dispenser) dan pendingin air di tempat-tempat seperti bangunan pejabat, pusat beli-belah dan stesen pengangkutan awam.
Encik Masagos berkata Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) menggalakkan inisiatif seumpama itu, yang menurutnya, menyokong usaha Sifar Sisa Singapura dengan mengurangkan pengambilan minuman botol serta usaha memerangi kencing manis.
"Menurut perangkaan terkini yang dikumpul oleh Agensi Makanan Singapura, kita mengimport sekitar 17 juta botol air sebulan dari Malaysia sahaja," katanya.
"Memandangkan air dari paip di Singapura amat selamat untuk diminum, kita boleh dan seharusnya patut meningkatkan usaha untuk mengurangkan pengambilan air botol."
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sudah memasang balang-balang air di kesemua 26 pusat penjaja milik MEWR yang dikendalikan oleh agensi itu dan juga akan berbuat demikian di pusat-pusat penjaja baru, menurut menteri tersebut.
Beliau berkata NEA juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan majlis bandaran untuk menyediakan balang air di pusat-pusat penjaja milik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) kerana kawasan-kawasan dikongsi bersama di pusat-pusat berkenaan diuruskan oleh majlis bandaran.
Para pemilik premis-premis lain juga digalakkan memasang balang-balang air dan pendingin air, kata Encik Masagos, sambil menarik perhatian kepada skim Tanda Hijau bagi Tempat Kerja Lebih Sihat yang dihasilkan bersama oleh Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).
Skim tersebut memberi ganjaran mata kepada syarikat-syarikat yang menyediakan balang air di pejabat mereka.
Anugerah KESIHATAN Singapura anjuran HPB juga mengiktiraf syarikat-syarikat atas usaha-usaha seumpama itu untuk mewujudkan tempat kerja yang lebih sihat.
Selain itu, para penganjur acara digalakkan untuk menggunakan balang air dan cawan yang boleh diguna semula dan bukan botol-botol air plastik, kata Encik Masagos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.