S'pura, Hong Kong patahkan sindiket penipuan kerja rentas sempadan libatkan S$1.6 juta
Satu operasi bersama melibatkan polis Singapura dan Hong Kong berjaya mematahkan sindiket penipuan pekerjaan rentas sempadan melibatkan 134 penipuan pekerjaan dan S$1.56 juta. Sebanyak 41 orang yang dituduh terlibat telah ditangkap atau disiasat di kedua-dua bandar termasuk 27 warga Singapura.
(Grafik: SPF)
SINGAPURA: Satu operasi bersama melibatkan polis Singapura dan Hong Kong berjaya mematahkan sindiket penipuan pekerjaan rentas sempadan melibatkan 134 penipuan pekerjaan dan HK$9 juta (S$1.56 juta). Sebanyak 41 orang yang dituduh terlibat telah ditangkap atau disiasat di kedua-dua bandar termasuk 27 warga Singapura.
Sindiket jenayah itu, yang berpusat di Hong Kong, dipercayai terlibat dalam 134 kes penipuan yang melibatkan janji wang tunai pantas kepada pencari kerja sebagai ganjaran membantu pelbagai penjual menambah penjualan online mereka, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan pada Selasa (29 Jun).
"Sindiket jenayah rentas sempadan telah menyasarkan mangsa di banyak negara, termasuk Singapura," kata Encik David Chew, pengarah di Jabatan Ehwal Komersil (CAD) Singapura.
Polis Hong Kong menangkap 14 "anggota utama" sindiket itu antara 16 dengan 18 Jun. Mereka terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita, berusia antara 22 dengan 53 tahun.
Di Singapura, 23 lelaki dan empat wanita - berusia 16 hingga 53 tahun - kesemuanya warga Singapura, ditangkap atau disiasat. Puluhan kad bank tempatan, beberapa telefon bimbit dan kad SIM dirampas polis.
Siasatan awal menunjukkan bahawa suspek di Singapura telah membantu dalam pemindahan dana bank, mengeluarkan wang atau menyerahkan akaun bank mereka kepada kumpulan sindiket itu.
Operasi besar-besaran itu melibatkan CAD, Jabatan Perisikan Polis dan tujuh divisyen darat SPF dengan kerjasama Biro Jenayah Keselamatan dan Teknologi Siber Pasukan Polis Hong Kong.
MODUS OPERANDI
Untuk mengumpan mangsa mereka, penipu menyiarkan iklan di pelbagai wadah media sosial yang menjanjikan pulangan wang yang cepat.
"Pekerjaan" itu melibatkan mangsa yang harus melakukan pembelian di wadah edagang, dengan alasan untuk meningkatkan penjualan online kedai tersebut.
Mangsa dijanjikan komisen 5 hingga 12 peratus di samping wang pembelian mereka dikembalikan sepenuhnya.
Namun, penipu akan memberikan pautan web kepada mangsa ke laman palsu yang merupakan klon laman web edagang popular seperti Taobao atau HKTV Mall.
Apabila mangsa membuat pembelian di laman klon ini, pembayaran akan disalurkan ke dalam akaun bank penipu.
Awalnya, penipu akan menepati janji, membayar semula pembelian dan memberi komisen untuk meraih kepercayaan mangsa.
Namun apabila mangsa mula membuat pembelian yang lebih besar, penipu akan menunda pembayaran, menjanjikan pembayaran hanya setelah sejumlah tugas selesai.
Akhirnya, penipu akan berhenti membayar balik wang mangsa dan membawa lari dana itu, menyebabkan mangsa menyedari bahawa mereka telah ditipu.
CARA ELAK JADI MANGSA PENIPUAN
Sejak 20 Mei, Pusat Anti Penipuan CAD telah mengenal pasti dan menghubungi lebih 660 "mangsa" untuk menasihatkan mereka tentang "varian penipuan pekerjaan tersebut".
Pusat itu telah menutup lebih 270 akaun bank dan membekukan lagi lebih 80 yang disyaki ada kaitan dengan penipuan pekerjaan seperti itu.
- SPF menasihatkan orang ramai agar amalkan tip-tip berikut untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan serupa:
- Platform edagang tidak akan pernah meminta wang daripada anda dengan janji ia akan dikembalikan dengan komisen.
- Sekiranya apa yang dijanjikan itu terlalu baik hingga sukar dipercayai, ia berkemungkinan tidak benar.
- Jika boleh, sahkan kesahihan tawaran pekerjaan itu dengan laman atau sumber rasmi
- Jangan klik pada URL yang mencurigakan atau muat turun aplikasi dari sumber yang tidak diketahui.
SPF juga menggesa orang ramai yang secara tidak dijangka dijemput dalam kumpulan sembang yang mencurigakan pada aplikasi pesanan untuk melaporkan kumpulan sembang itu untuk mengelakkan orang lain daripada menjadi mangsa penipuan.
Orang ramai boleh menghubungi talian hotline anti-penipuan di 1800-722-6688 atau melayari www.scamalert.sg untuk mendapatkan nasihat berkaitan penipuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.