S'pura hantar bekalan oksigen untuk bantu India tangani pandemik COVID-19
Pemerintah Singapura menghantar tangki-tangki oksigen untuk menyokong tindak balas India terhadap pandemik COVID-19, menurut Kementerian Ehwal Luar pada Rabu (28 Apr).

(Gambar: MFA)
SINGAPURA: Pemerintah Singapura menghantar tangki-tangki oksigen untuk menyokong tindak balas India terhadap pandemik COVID-19, menurut Kementerian Ehwal Luar pada Rabu (28 Apr).
Ini dilakukan sedang India terus memerangi gelombang baru jangkitan COVID-19, dengan hospital-hospital yang berdepan kekurangan bekalan oksigen yang boleh menyelamatkan nyawa terpaksa menolak kemasukan lebih ramai pesakit.
Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) akan mengangkut tangki-tangki itu menggunakan dua pesawat C-130 dari Singapura ke wilayah Benggala Barat.
Menteri Kedua Ehwal Luar Dr Maliki Osman menyerahkan muatan tangki-tangki oksigen atas dua pesawat itu kepada Pesuruhjaya Tinggi India P Kumaran di Pangkalan Udara Paya Lebar pada Rabu pagi.
"Kita semua telah menyaksikan tahun lalu bagaimana pandemik ini adalah suatu ancaman rentas sempadan," kata Dr Maliki di pangkalan udara itu.
"Ia tidak mengenal negara, kerakyatan, atau bangsa. Atas dasar inilah kita mesti bekerja secara kolektif untuk saling menyokong antara satu sama lain,” tambahnya.
Singapura dan India mempunyai hubungan yang erat, kata Dr Maliki, sambil merakamkan penghargaan kepada pemerintah India yang terus bekerjasama dengan Singapura sepanjang pandemik ini dengan "memastikan rantaian bekalan kekal terbuka dan penghantaran barang-barang keperluan berterusan".
"Walaupun sumbangan kami sederhana, kami berharap dapat memberikan keselesaan dan kelegaan kepada mereka yang memerlukan dan mendorong mereka yang berada di barisan hadapan di India, yang bekerja tanpa lelah, untuk terus berjuang," kata Dr Maliki.
"Saya tidak ada keraguan bahawa semangat juang rakyat India akan terserlah."
Firma pelaburan Singapura Temasek juga telah menghantar peralatan perubatan, termasuk empat tangki kriogenik oksigen yang disumbangkan oleh Kumpulan Tata India. Penghantaran itu mendarat di Benggala Barat pada hujung minggu.
Lonjakan jumlah jangkitan di India - 350,000 kes baru direkodkan di sana pada Selasa sahaja - telah menyebabkan lonjakan kes global kepada 147.7 juta dan virus itu kini telah meragut nyawa lebih 3.1 juta penduduk di merata dunia.
Dengan jumlah penduduk sekitar 1.3 bilion orang, India setakat ini melaporkan hampir 18 juta jangkitan COVID-19 dan hampir 200,000 kematian, walaupun para pakar percaya jumlah sebenarnya jauh lebih tinggi.
Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Kanada, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga berjanji akan menghantar bekalan ke India.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.