S'pura hantar bekalan oksigen kecemasan setiap minggu ke Indonesia sehingga Ogos
Singapura akan mengirimkan penghantaran tetap bekalan oksigen kecemasan ke Indonesia untuk membantu negara itu melawan lonjakan kes COVID-19 yang dihadapi sekarang.

Sebuah tangki ISO mengandungi 20 tan cecair oksigen. (Gambar ihsan: Smart-Gas)
SINGAPURA: Singapura akan mengirimkan penghantaran tetap bekalan oksigen kecemasan ke Indonesia untuk membantu negara itu melawan lonjakan kes COVID-19 yang dihadapi sekarang.
Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) hari ini (19 Jul).
Aturan itu, yang dipanggil program "Oxygen Shuttle", adalah atas permintaan Indonesia. Ia akan menyokong keperluan mendesak bagi oksigen di kemudahan-mudahan perubatan di negara itu, tambah MFA.
Menurut kementerian itu, lebih 500 tan oksigen akan dihantar ke Indonesia dari sekarang hingga Ogos.
Empat tangki ISO mengandungi 80 tan cecair oksigen sudahpun tiba di Pelabuhan Tanjung Priok di Jakarta hari ini.
Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean berkata penghantaran di bawah program itu akan dilakukan setiap minggu sehingga bulan depan.
“Lapan tan cecair oksigen boleh mengisi sekitar 10,000 silinder dengan gas oksigen. Penghantaran seterusnya akan tiba pada minggu depan. Kami menyasarkan untuk mengirimkan lebih 500 tan cecair oksigen secara keseluruhannya," kata beliau dalam satu catatan Facebook.
Encik Teo menambah beliau sedang berhubungan dengan Menteri Penyelaras Maritim dan Pelaburan Indonesia Luhut Pandjaitan.
"Kami akan melakukan yang terbaik untuk mengharungi masa yang sukar ini bersama-sama dengan Indonesia," katanya.
Program "Oxygen Shuttle" adalah tambahan kepada bantuan daripada Pemerintah Singapura ke Indonesia dalam bentuk silinder oksigen, pemekat oksigen, alat pengudaraan serta bekalan perubatan dan peralatan lain yang dihantarkan lebih awal secara berkumpulan pada 9 dan 11 Julai.
Program itu diselaraskan oleh MFA dengan sokongan daripada Kementerian Pertahanan dan Bantuan Kemanusian Rantau Changi dan Pusat Penyelarasan Bantuan Bencana.
“Usaha-usaha ini serta sumbangan yang dianjurkan oleh entiti bukan pemerintah dan swasta membuktikan hubungan yang erat, solidariti serta sokongan bersama yang kukuh antara Singapura dengan Indonesia dalam mengatasi cabaran bersama COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.