Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura guna dron hantar ubat-ubatan, kawal keselamatan

Tidak lama lagi, anda mungkin akan melihat dron digunakan secara meluas di seluruh Singapura untuk menghantar bekalan ubat-ubatan kepada pesakit semasa waktu kecemasan.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura guna dron hantar ubat-ubatan, kawal keselamatan

Gambar fail dron. (Gambar: Josh Edelson/ AFP)

Diterbitkan : 25 Jul 2018 10:13AM Dikemas Kini : 25 Jul 2018 10:19AM

SINGAPURA: Tidak lama lagi, anda mungkin akan melihat dron digunakan secara meluas di seluruh Singapura untuk menghantar bekalan ubat-ubatan kepada pesakit semasa waktu kecemasan.

Ia juga bakal digunakan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan keselamatan di bawah sistem baru yang sedang dibangunkan, menurut sebuah konsortium semalam (24 Jul).

Future Flight Consortium, yang dianggotai 13 pihak, menyatakan bahawa ia dipilih oleh pihak berkuasa penerbangan awam Singapura dan Kementerian Pengangkutan untuk membangunkan program dron berkenaan.

Antara kegunaannya termasuk menghantar sampel darah, bekalan perubatan kecemasan dan bertindak terhadap insiden-insiden keselamatan di seluruh negara.

Dron tersebut juga akan beroperasi menerusi alat kawalan jauh yang dikawal juruterbang dari sebuah pusat operasi. Ia mampu menjangkaui perjalanan yang jauh di merata negara, tidak seperti dron lain yang dibenarkan di Singapura bagi kegunaan rekreasi.

Konsortium itu menambah, ia akan menetapkan laluan penerbangan bagi dron-dron tersebut, dan membangunkan rangkaian komunikasi privet serta tapak pendaratan dan pelepasan.

"Matlamat kami adalah untuk memudahkan sebarang perusahaan menggunakan dron (di luar jangkauan juruterbang) di Singapura secara selamat dan berkesan," kata Pengarah Projek Future Flight Ong Jiin Joo. 

Konsortium itu diberikan tempoh selama dua tahun untuk membangunkan sistem tersebut dan mereka berjanji akan melakukan ujian keselamatan yang ketat.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan sebuah lagi anggota konsortium berkenaan, Garuda Robotics, menyatakan mereka sedang dalam perbincangan tentang penggunaan dron dalam operasi pertahanan pasukan itu, khususnya bagi penghantaran "bekalan perubatan yang kritikal untuk menyelamatkan nyawa". 

Sumber : CNA/AQ/aq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa