Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura gantung operasi pesawat Boeing 737 MAX susuli 2 nahas pesawat

Pengawal selia penerbangan Singapura sudah mengarahkan semua pesawat Boeing 737 MAX digantung buat sementara, menurutnya hari ini (12 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Mar 2019 11:39AM Dikemas Kini : 12 Mar 2019 11:10PM

SINGAPURA: Pengawal selia penerbangan Singapura sudah mengarahkan semua pesawat Boeing 737 MAX digantung buat sementara, menurutnya hari ini (12 Mac).

"Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sudah menggantung buat sementara operasi pesawat Boeing 737 MAX yang berlepas dari dan menuju ke Singapura menyusuli dua nahas yang melibatkan pesawat Boeing 737 MAX dalam tempoh kurang lima bulan," menurutnya dalam satu kenyataan.

Tempoh penggantungan itu akan berkuat kuasa mulai pukul 2.00 petang hari ini (11 Mac), menurut CAAS. Syarikat penerbangan SilkAir, yang mengendalikan enam pesawat Boeing 737 MAX, terjejas akibat penggantungan tersebut.

Singapura mengumumkan langkah ini menyusuli nahas pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Ethiopian Airlines pada Ahad (10 Mac), yang meragut nyawa 157 orang. Sebuah pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Lion Air terhempas di Laut Jawa, Indonesia pada tahun lalu, mengorbankan 189 orang.

Menurut CAAS, syarikat-syarikat penerbangan lain yang mengendalikan pesawat Boeing 737 MAX ke Singapura adalah China Southern Airlines, Garuda Indonesia, Shandong Airlines dan Thai Lion Air.

CAAS turut menyatakan pihaknya sedang bekerjasama dengan Lapangan Terbang Changi dan syarikat-syarikat penerbangan terjejas untuk mengurangkan kesan terhadap para penumpang.

"Sepanjang tempoh penggantungan ini, CAAS akan mengumpul maklumat dan menyemak risiko keselamatan yang ada kaitan dengan operasi pesawat Boeing 737 MAX yang berlepas dari dan menuju ke Singapura," menurutnya lagi.

"CAAS sedang memantau dengan teliti keadaan dan sedang berhubungan dengan Jabatan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat dan pihak pengawal selia lain, serta Boeing."

Tempoh penggantungan akan disemak apabila "maklumat keselamatan relevan disediakan," tambahnya.

Pihak berkuasa juga menyatakan bahawa ia kerap berhubungan dengan SilkAir mengenai operasi Boeing 737 MAX sejak tahun lalu, dan ia juga "berpuas hati dengan langkah-langkah sesuai yang diambil syarikat itu bagi mematuhi peraturan-peraturan keselamatan yang ditetapkan."

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan