Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura gantung laluan hijau timbal balik dengan M'sia, Jerman, Korea Selatan untuk 3 bulan

Singapura menggantung aturan laluan hijau timbal balik (RGL) dengan Malaysia, Jerman dan Korea Selatan untuk tiga bulan dari Isnin (1 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Jan 2021 11:09AM Dikemas Kini : 31 Jan 2021 12:31AM

SINGAPURA: Singapura menggantung aturan laluan hijau timbal balik (RGL) dengan Malaysia, Jerman dan Korea Selatan untuk tiga bulan dari Isnin (1 Jan).

Aturan RGL dengan Jepun dan Indonesia digantung sebelum ini pada Disember 2020.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu (30 Jan), Kementerian Ehwal Luar Singapura menyatakan: "Pemerintah Singapura mengkaji semula secara tetap langkah-langkah kawalan sempadannya bagi menangani risiko kes jangkitan import dan susulan itu penyebaran dalam masyarakat dari para pelawat.

"Oleh kerana kes COVID-19 meningkat semula di seluruh dunia, Pemerintah Singapura akan menggantung aturan Laluan Hijau Timbal Balik dengan Jerman, Malaysia dan Korea Selatan, bagi tempoh tiga bulan bermula dari Isnin, 1 Februari 2021, 12.01 tengah malam.

"Pemerintah Singapura akan mengkaji semula aturan Laluan Hijau Timbal Balik di akhir tempoh penggantungan. Para pelawat yang sudah diberi kelulusan untuk memasuki Singapura di bawah Laluan Hijau Timbal Balik boleh terus berbuat demikian," menurut kenyataan itu.

MFA menambah bahawa Pemerintah Singapura akan terus memantau situasi global dan menyesuaikan langkah-langkah sekatan sempadan untuk menangani risiko kes-kes import dan penularan dalam masyarakat.

"Sebarang perubahan pada langkah-langkah sempadan akan dikemas kini di laman web SafeTravel. Para pelawat dinasihati supaya melungsuri laman itu untuk memeriksa langkah sempadan terkini," katanya.

Singapura masih meneruskan laluan hijau timbal balik dengan Brunei dan bandar-bandar terpilih di tanah besar China.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan