Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura destinasi pertama di luar Perancis anjur pameran kereta api Orient Express

Mungkin anda pernah terdengar rangkaian kereta api Orient Express menerusi novel atau filem Barat seperti "Murder On The Orient Express". 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mungkin anda pernah terdengar rangkaian kereta api Orient Express menerusi novel atau filem Barat seperti "Murder On The Orient Express".

Sungguhpun demikian, tahukah anda bahawa kereta api Orient Express ini adalah sejenis pengangkutan darat mewah yang pertama seumpamanya untuk membawa penumpang dari Barat ke Timur?

Ini setelah pengasasnya, Georges Nagelmakers, seorang warga Eropah begitu teruja dengan khazanah budaya di negara-negara Timur seperti Turki.

Perjalanan sulung kereta api ini pada 1883 membawa penumpangnya dari Paris ke Constantinople (Konstantaniah) yang kini dikenali sebagai Istanbul.

Maka itu tidak hairanlah jika kereta api mewah yang mendapat gelaran sebagai "istana beroda" ini menjadi jambatan yang menghubungkan budaya antara dunia Barat dan Timur.

Sejarah kereta api ini boleh disusuri melalui pameran "Once Upon A Time on the Orient Express" yang buat julung-julung kalinya diadakan di luar Perancis.

Sebuah khemah khas seluas 2,000 meter persegi dibangunkan di kawasan West Lawn, Taman Di Pesisiran untuk menempatkan dua gerabak kereta api asli dan lebih 300 artifak.

Sebaik sahaja anda melangkah masuk ke dalam gerabak kereta api asli ini yang digunakan pada tahun 1920, anda akan merasakan seolah-olah anda menaikinya semasa abad ke-18.

Gerabak tersebut turut dihiasi semula seperti keadaan asalnya, di samping memaparkan cebisan sejarah yang juga menampilkan sebilangan tokoh terkemuka yang pernah menaiki kereta api bersejarah ini.

Ini juga merupakan kali pertama Khazanah Negara Perancis itu dibawa ke luar negara.

Menurut Pengarah Pameran, Lydie Blandeau, "Gerabak-gerabak ini sangat berharga bagi pemerintah Perancis. Kami ada dua Khazanah Negara dan selalunya khazanah negara tidak dibawa ke luar negara dan kami juga ada bahagian enjin yang juga menjadi monumen sejarah dan Singapura pula dikenali sebagai sebuah negara yang selamat."

Walaupun berdepan dengan cabaran untuk membawa gerabak kereta api asli itu melalui kapal di tengah-tengah pandemik COVID-19, misi itu akhirnya berjaya direalisasikan setelah merentasi 15,200 km dari Paris ke sini dalam masa 40 hari.
Pameran ini berlangsung mulai hujung minggu ini (12 Dis) sehingga 13 Jun 2021.

Tiket-tiket yang berharga S$25 boleh didapatkan menerusi lelaman SISTIC.

Rakyat Singapura juga boleh menggunakan Baucar SingapoRediscovers untuk membeli tiket pameran ini menerusi pakej penginapan Fairmont Singapore.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan