S'pura derma S$30 juta menerusi laman amal pada 2018
Tahun lalu, Singapura menderma S$30 juta kepada laman amal Giving.sg, dengan S$8.95 juta daripadanya didermakan pada Disember saja dan lebih S$500,000 didermakan pada Hari Krismas.

Pada 2017, S$11 juta diderma pada Disember, hampir separuh daripada S$25.9 juta yang diderma untuk pelbagai tujuan kebajikan sepanjang tahun itu. (Gambar: NVPC)
SINGAPURA: Tahun lalu, Singapura menderma S$30 juta kepada laman amal Giving.sg, dengan S$8.95 juta daripadanya didermakan pada Disember saja dan lebih S$500,000 didermakan pada Hari Krismas.
Jumlah keseluruhan itu adalah kenaikan sebanyak 18 peratus berbanding tahun sebelumnya dan adalah jumlah paling tinggi yang diderma sejak 2015, apabila laman itu ditubuhkan setelah platform relawan SG Cares dan platform derma SG Gives bergabung.
Rakyat Singapura biasanya amat murah hati apabila menderma pada bulan Disember, menurut statistik oleh Pusat Sukarelawan dan Dermawan Kebangsaan (NVPC), yang mengendalikan Giving.sg.
Laman itu membenarkan 163,000 pengguna yang berdaftar untuk menjadi sukarelawan atau menderma kepada lebih 500 badan amal. Laman itu dibuka kepada semua, tetapi kebanyakannya merupakan rakyat Singapura, menurut NVPC, yang disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Pada 2017, S$11 juta diderma pada Disember, hampir separuh daripada S$25.9 juta yang diderma untuk pelbagai tujuan kebajikan sepanjang tahun itu.
NVPC menjelaskan trend menderma di hujung tahun itu disebabkan oleh ramai orang yang menderma sebagai cara memberi hadiah sempena Krismas.
Untuk Krismas 2018, S$556,000 diderma dalam sehari, terutamanya untuk tujuan kebajikan warga tua, penjagaan kesihatan serta kanak-kanak dan belia.
Derma untuk tujuan kebajikan warga tua termasuk hospis, pusat jagaan warga tua, rumah penjagaan dan badan amal agihan makanan, manakala mereka yang menderma kepada kanak-kanak dan belia membantu orang-orang muda daripada keluarga kurang bernasib baik atau kanak-kanak dengan masalah kesihatan seperti masalah jantung atau barah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.