S'pura dan M'sia mesti manfaatkan sinergi; bekerjasama dalam bidang sekitaran, air di tengah COVID-19, gesa Masagos
Kedua-dua Singapura dan Malaysia sedang menempuhi masa yang mencabar dengan keadaan COVID-19 terus mencengkam dunia.

(Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)
SINGAPURA: Kedua-dua Singapura dan Malaysia sedang menempuhi masa yang mencabar dengan keadaan COVID-19 terus mencengkam dunia.
Sekalipun demikian, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli berkata beliau bersyukur dapat mengadakan perbualan bersama rakan sejawatannya dari negara seberang tambak itu, Encik Tuan Ibrahim Tuan Man, menerusi panggilan telefon pada awal minggu ini.
Menulis di catatan Facebooknya hari ini (10 Apr), Encik Masagos berkata beliau dan Encik Tuan Ibrahim menegaskan lagi persahabatan serta kerjasama yang sudah terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara.
Kedua-dua menteri itu juga bersetuju bahawa Singapura dan Malaysia mesti terus bekerjasama antara satu sama lain untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala yang sudah lama tersemai.
"Sebagai jiran, hubungan antara Singapura dengan Malaysia adalah luas dan mencakupi pelbagai bidang. Kita mesti memanfaatkan sinergi dengan bekerjasama dalam isu-isu sekitaran serta air yang akan membawa maslahat kepada rakyat kita," ujar Encik Masagos.
Encik Masagos turut melahirkan harapan agar dapat bertemu dengan Encik Tuan Ibrahim bagi membincangkan dan saling mempertingkatkan hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia.
Dalam perbualan telefon itu, tambah Encik Masagos, kedua-dua menteri juga saling mendoakan satu sama lain agar segala usaha yang sudah dan bakal dijalankan bagi menangani pandemik COVID-19 dapat meraih hasil yang berkesan dan yang sangat-sangat diharapkan oleh para pemimpin dan rakyat kedua-dua negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.