Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, China tubuh panel pengantara antarabangsa bagi projek-projek Jaluran Ekonomi Laluan Sutera

Singapura dan China memeterai satu perjanjian untuk menubuhkan satu panel pengantara antarabangsa, bagi menguruskan dengan lebih baik pertikaian yang mungkin berlaku dalam projek-projek Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China (BRI) yang melibatkan beberapa bilion dolar.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Jan 2019 07:09PM Dikemas Kini : 24 Jan 2019 09:53PM

BEIJING: Singapura dan China memeterai satu perjanjian untuk menubuhkan satu panel pengantara antarabangsa, bagi menguruskan dengan lebih baik pertikaian yang mungkin berlaku dalam projek-projek Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China (BRI) yang melibatkan beberapa bilion dolar.

Panel itu akan merangkumi beberapa pakar berpengalaman dalam penghuraian pertikaian dari China, Singapura dan negara-negara lain yang terlibat dalam BRI.

BRI merujuk kepada rancangan China untuk memperhebat perdagangan dengan menghubungkan lebih 60 negara Asia, Afrika, Timur Tengah dan Eropah, melalui satu siri projek prasarana, seperti kereta api dan pelabuhan.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menubuhkan panel pengantara BRI dimeterai Pusat Pengantaraan Antarabangsa Singapura dan Majlis China bagi Penggalakan Perdagangan Antarabangsa (CCPIT) di Beijing hari ini (24 Jan).

MoU itu dimeterai sedang lebih banyak pertikaian dijangkakan sepanjang projek mega itu dijalankan. Inisiatif itu pertama kali diumumkan Presiden China Xi Jinping pada 2013.

"Projek-projek BRI umumnya bernilai tinggi dan melibatkan pelbagai pihak dan bidang kuasa," kata Peguam Kanan George Lim, Pengerusi SIMC.

"Faktor-faktor ini meningkatkan risiko berlakunya suatu pertikaian sepanjang projek dijalankan dan merumitkan lagi proses menghuraikan pertikaian tersebut."

Jadi, di bawah perjanjian baru, kedua-dua pihak akan secara bersama menentukan peraturannya, protokol pengurusan kes dan prosedur-prosedur penguatkuasaan bagi kes-kes pertikaian BRI yang diserahkan bagi usaha damai.

Ahli-ahli panel juga akan menjalani program pertukaran kemahiran, untuk mengenal lebih baik budaya perniagaan dan penghuraian pelbagai bidang kuasa yang terlibat.

Pemeteraian perjanjian disaksikan Menteri Negara Kanan Undang-Undang, Edwin Tong, di Sidang Huraian Pertikaian Komersil Antarabangsa China-Singapura yang pertama.

Dalam ucapannya, Encik Tong berkata Singapura dan China boleh bekerjasama untuk membangunkan cara baru bagi menyelesaikan pertikaian komersil rentas sempadan yang mencerminkan nilai-nilai Asia dan sesuai dengan kepentingan Asia.

Beliau menarik perhatian bahawa peraturan dan prosedur-prosedur untuk menyelesaikan pertikaian rentas sempadan komersil masa kini umumnya bersifat bertentangan dan merangkumi nilai-nilai serta norma Barat.

Meskipun peraturan dan prosedur itu mempunyai manfaat tersendiri, ia tidak semestinya yang terbaik bagi semua jenis pertikaian.

Sebaliknya, Encik Tong berkata, negara-negara Asia menghargai hubungan dan sering berusaha menjaga harmoni antara satu sama lain.

"Usaha damai antara jalan keluar yang menjadi tumpuan," kata Encik Tong dalam satu wawancara bersama media Singapura.

"Jelas, cara kami memilih ahli panel, cara menentukan peraturan-peraturan bagi pertikaian seumpama itu - menyuntik elemen perundingan dan pengantaraan sebelum mengemukakan sesuatu perkara untuk ditimbang tara - adalah antara perkara yang sedang kami pertimbangkan untuk menjadikannya lebih selaras dengan cara penduduk Asia ingin melakukan perniagaan, dan lebih utama lagi, tentang bagaimana mereka ingin menghuraikan pertikaian."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan