Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, China teliti bagaimana perjalanan dua hala boleh disambung: Vivian Balakrishnan

Singapura dan China sedang meneliti bagaimana hubungan perjalanan antara kedua-dua negara boleh disambung semula, kata Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan pada Rabu (31 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura, China teliti bagaimana perjalanan dua hala boleh disambung: Vivian Balakrishnan

Dr Vivian Balakrishnan dan Encik Wang Yi pada 31 Mac 2021 (Gambar: Kementerian Ehwal Luar)

Diterbitkan : 01 Apr 2021 08:37AM Dikemas Kini : 01 Apr 2021 08:44AM

SINGAPURA: Singapura dan China sedang meneliti bagaimana hubungan perjalanan antara kedua-dua negara boleh disambung semula, kata Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan pada Rabu (31 Mac).

Dr Balakrishnan berkata demikian semasa menggulung lawatan beliau selama dua hari ke Fujian, ketika beliau bertemu dengan Penasihat Negara merangkap Menteri Luar China Wang Yi.

"Kini dalam fasa pemulihan pasca-COVID, kami sedang meneliti bagaimana - sedang kedua-dua Singapura dan China membuka semula ekonomi - kami boleh perlahan-lahan, secara beransur-ansur dan berhati-hati menyambung hubungan perjalanan juga," kata Dr Balakrishnan.

"Oleh itu, antara perkara yang kami bincangkan adalah pengiktirafan bersama sijil kesihatan, dan saya mahu menekankan bahawa ini melampaui vaksin, tetapi juga serologi, ujian asid nukleik PCR dan yang lain."

Ini setelah Dr Balakrishnan mengatakan Singapura menyambut baik cadangan China baru-baru ini mengenai pengiktirafan bersama sijil kesihatan, menyifatkannya sebagai "inisiatif tepat pada masanya" kerana kedua-dua negara telah memulakan program vaksinasi.

"Sijil-sijil kesihatan ini akan menjadi penting bagi membolehkan perjalanan rentas sempadan disambung dengan selamat sambil melindungi kesihatan awam," katanya kepada agensi berita China, Xinhua, pada Selasa.

"Penting untuk kami bekerjasama awal bagi memastikan sistem tersebut boleh saling beroperasi."

Singapura dan China sudah pun mempunyai aturan "laluan pantas" bagi memudahkan perjalanan penting untuk tujuan perniagaan dan rasmi, antara Singapura dengan enam wilayah atau daerah di China.

Singapura juga telah secara sepihak menarik balik sekatan sempadan untuk pelawat dari China.

Dr Balakrishnan pada Rabu berkata bahawa Singapura telah membuka sempadannya kepada pengunjung dari China kerana kawalan kes COVID-19 di negara itu "sangat baik".

"China jelasnya sedang meneliti perangkaan kami dan hakikat bahawa kami membuat kemajuan baik, kedua-duanya dari segi kawalan kes dan vaksinasi."

Dr Balakrishnan, bagaimanapun, berkata bahawa beliau belum bersedia untuk memberikan garis waktu bila penyambungan hubungan perjalanan antara kedua-dua negara dapat diluaskan, meskipun beliau berkata isu itu "bergerak ke arah positif".

"Saya tahu bahawa ada juga warga Singapura yang belajar di China yang mahu pulang dan saya boleh memberi jaminan bahawa saya mengajukan permintaan itu untuk mereka juga" tambahnya.

SITUASI MYANMAR "SANGAT TRAGIK"

Lawatan Dr Balakrishnan ke Fujian menyusuli lawatannya ke Brunei, Malaysia dan Indonesia baru-baru ini.

Isnin lalu, Dr Balakrishnan bertemu Sultan Brunei, Hassanal Bolkiah dan Menteri Kedua Ehwal Luar Erywan Pehin Yusof.

Dalam pertemuan dengan Encik Erywan, kedua-dua menteri setuju bahawa keadaan di Myanmar sangat membimbangkan, dan menggesa semua pihak di Myanmar untuk mencari satu huraian damai.

Dr Balakrishnan pada Rabu berkata bahawa beliau juga membincangkan dengan rakan sejawatannya dari China mengenai "keadaan yang sangat membimbangkan di Myanmar".

Daripada perbincangannya dengan Encik Wang, Dr Balakrishnan berkata beliau yakin bahawa China juga berkongsi harapan Singapura agar ketegangan akan berkurangan, keganasan dihentikan dan dialog politik dimulakan.

"Kami berdua bersetuju bahawa kami masih harus tetap menghormati prinsip tidak campur tangan dalam hal domestik," tambahnya.

"Pada akhirnya, nasib dan masa depan Myanmar terletak di tangan rakyatnya sendiri. Kami boleh berusaha membantu, ASEAN, PBB pasti akan berusaha menolong dengan cara yang membina dan tidak campur tangan, tetapi dengan cara yang membolehkan dialog berlaku.

"Kami harus melakukannya dengan berhati-hati, sabar, dan dengan cara yang menggalak pelibatan dan perbualan, berbanding konfrontasi."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan