Skip to main content

Singapura

S'pura, China setuju perkukuh kerjasama tangani ancaman global COVID-19

Singapura dan China menyuarakan keprihatinan berhubung pandemik COVID-19 dan bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dua hala, serantau dan global untuk menanganinya semasa Mesyuarat Bersama Singapura-China berhubung COVID-19 yang diadakan secara maya pada Rabu (1 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura, China setuju perkukuh kerjasama tangani ancaman global COVID-19

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 02 Apr 2020 09:43AM Dikemas Kini : 02 Apr 2020 09:47AM

SINGAPURA: Singapura dan China menyuarakan keprihatinan berhubung pandemik COVID-19 dan bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dua hala, serantau dan global untuk menanganinya semasa Mesyuarat Bersama Singapura-China berhubung COVID-19 yang diadakan secara maya pada Rabu (1 Apr).

Mesyuarat itu, yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong dan Naib Menteri Luar China, Luo Zhaohui, dihadiri oleh wakil-wakil dari kedua-dua pihak meliputi bidang pendidikan, perdagangan dan perusahaan, kastam dan imigresen, pengangkutan, kesihatan dan tenaga manusia, menurut satu kenyataan bersama.

China "melahirkan penghargaan kepada pihak Singapura atas sokongan dan bantuannya," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pihak Singapura menggariskan usaha yang telah dilakukan untuk mencegah, membendung dan mengawal penularan tersebut.

"Kedua-dua pihak yakin dengan keupayaan masing-masing untuk memerangi dan mengatasi ancaman jangka panjang COVID-19", tambah kenyataan itu.

KONGSI AMALAN BAIK, PENYELIDIKAN

Kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan mengenai langkah kawalan dan rawatan yang diambil untuk memerangi penyebaran virus itu.

Mereka bersetuju untuk berkongsi amalan diagnostik dan rawatan yang baik, dan meneroka penyelidikan dan pengembangan ubat-ubatan dan vaksin secara bersama.

Mereka juga bersetuju mengenai pentingnya langkah-langkah mampan untuk menangani risiko kesihatan awam, sambil secara bertahap-tahap mengembalikan seperti biasa interaksi orang awam dan pertukaran ekonomi.

KEKALKAN ALIRAN BARANGAN

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk terus melindungi kesihatan awam sambil membincangkan penyediaan akses mudah kepada aliran kakitangan yang diperlukan, mengekalkan laluan udara dan laut yang lancar dan terbuka bagi kargo, memastikan aliran perdagangan bebas dan memudahkan aliran barangan, termasuk bekalan perubatan penting dan makanan, serta memastikan integriti rantaian bekalan.

"Kedua-dua pihak bersetuju bahawa COVID-19 adalah suatu keadaan darurat kesihatan awam global yang tidak membezakan kerakyatan, bangsa atau sempadan. Kedua-dua pihak menyeru negara-negara seluruh dunia untuk bekerjasama untuk menangani ancaman rentas sempadan ini untuk perlindungan dan kesejahteraan rakyat kita," menurut kenyataan bersama itu. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita