S'pura, China meterai perjanjian pertahanan tingkatkan latihan tentera dua hala
Singapura dan China hari ini memeterai satu perjanjian pertahanan yang sudah dikemas kini.
SINGAPURA: Singapura dan China hari ini memeterai satu perjanjian pertahanan yang sudah dikemas kini.
Ia bertujuan untuk meningkatkan latihan tentera dua hala, di samping menyediakan sokongan logistik dan mengadakan dialog secara kerap antara menteri pertahanan dari kedua-dua negara.
Perjanjian mengenai Pertukaran Pertahanan dan Kerjasama Keselamatan, atau ADESC, merasmikan kegiatan antara Kementerian Pertahanan MINDEF dengan Tentera Pembebasan Rakyat China, PLA.
Ini termasuk persinggahan pelabuhan, latihan dua hala, lawatan negara dan penyertaan bagi kursus-kursus.
Singapura dan China sudah bersetuju untuk memeterai perjanjian itu pada Mei lalu, apabila Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen mengadakan pertemuan rasmi dengan rakan sejawatannya di China, Jeneral Wei Fenghe, menjelang Dialog Shangri-La.
Menurut MINDEF, perjanjian itu mengesahkan lagi "hubungan muhibah dan rapat" antara Singapura dengan China, serta mencerminkan "kemajuan ketara" dalam hubungan pertahanan kedua-dua negara sejak sedekad lalu.
Pada masa sama, ia juga menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk mengukuhkan lagi hubungan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.