S'pura catat rekod tertinggi 287 kes baru COVID-19, lebih separuh dikaitkan dengan kelompok asrama pekerja asing
Singapura laporkan 287 kes baru COVID-19 pada Khamis (9 April), peningkatan harian terbesar setakat ini dan lebih seganda berbanding rekod tertinggi yang dicatat semalam, kata pasukan bertindak berbilang kementerian yang menangani virus korona di negara ini pada Khamis (9 Apr).

Suasana di S11 Dormitory @ Punggol pada 6 Apr 2020. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Singapura melaporkan 287 kes baru COVID-19 pada Khamis (9 April), peningkatan harian terbesar setakat ini dan lebih seganda berbanding rekod tertinggi yang dicatat semalam, kata pasukan bertindak berbilang kementerian yang menangani virus korona di negara ini dalam satu sidang media pada Khamis (9 Apr).
Ini sekali gus menjadikan jumlah jangkitan di negara kepada 1,910.
219 daripada kes baru itu dikaitkan dengan kelompok sedia ada, dengan sekurang-kurangnya 160 kes melibatkan pekerja asing di asrama S11 Dormitory @ Punggol.
Sebanyak 19 kes pula dikaitkan dengan pesakit sebelum ini, manakala 46 lagi kes belum ditemui sebarang kaitan, menurut pasukan itu. Tiga kes yang baru diumumkan adalah kes diimport.
Dalam pada itu, 314 pesakit sudah keluar daripada wad penjagaan akut, dan 705 kes dipindahkan ke kemudahan pengasingan masyarakat.
Enam kematian dicatatkan setakat ini.
Pada Rabu, seorang warga India berusia 32 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas mengambil ujian swab, dan disahkan positif COVID-19 selepas kematiannya.
KELOMPOK MUSTAFA CENTRE
Pasukan bertindak itu berkata dengan bantuan polis dan Kementerian Pertahanan (MINDEF), ia mengenal pasti hubungan antara kelompok di pusat beli-belah Mustafa Centre dan tapak binaan Projek Glory serta beberapa asrama pekerja asing: S11 Dormitory @ Punggol, Sungei Tengah Lodge, Tampines Dormitory Cochrane Lodge II dan Asrama Toh Guan.
Pengarah perkhidmatan perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH) Profesor Madya Kenneth Mak menggambarkan bagaimana beberapa kes asrama dikaitkan dengan kelompok Mustafa Centre.
"Kami percaya bahawa pekerja berkenaan telah melawat Mustafa dan mereka kemudiannya menyebarkan jangkitan kepada rakan sekerja mereka," katanya.
"Penularan kemungkinan besar berlaku melalui kontak rapat, contohnya semasa waktu makan, semasa rehat, dan juga antara rakan sekerja di tempat kerja kerana jarak fizikal rapat di tempat kerja," katanya.
Seterusnya, mereka boleh menyebarkan jangkitan kepada rakan sekerja dan rakan-rakan di asrama, katanya.
Singapura menyaksikan kenaikan mendadak jumlah kes COVID-19 di asrama pekerja asing baru-baru ini.
Sungei Tengah Lodge menjadi asrama pekerja asing keempat dijadikan kawasan pengasingan mulai tengah malam Khamis, dalam usaha membendung penularan penyakit itu.
Tiga lagi asrama yang sudah diwartakan sebagai kawasan pengasingan ialah: S11 Dormitory @ Punggol, asrama Westlite Toh Guan dan Toh Guan Dormitory.
Pada Khamis, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan langkah-langkah tambahan untuk memastikan jarak selamat dalam rangkaian pengangkutan awam untuk membantu membendung penyebaran COVID-19 di Singapura.
Ini termasuk memasang pengimbas suhu di stesen-stesen MRT tertentu dan pelekat jarak selamat di bas, kereta api, stesen kereta api, pusat pertukaran bas dan perhentian bas.
Ini menyusuli langkah-langkah jarak selamat lebih ketat bermula pada Selasa sebagai sebahagian daripada tempoh "pemutus rantaian jangkitan" sehingga 4 Mei untuk membendung penularan COVID-19.
Kira-kira 10,000 nasihat bertulis sudah dikeluarkan pada dua hari pertama langkah pemutus jangkitan, termasuk individu yang berkumpul di tempat awam dan mereka yang gagal mematuhi peraturan jarak selamat.
Pesalah berulang akan dikenakan denda atau didakwa di mahkamah, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli dalam catatan di Facebook pada Khamis.
Pesalah kali pertama akan menerima amaran tertulis yang tegas. Sesiapa yang melakukan kesalahan kalio kedua akan didenda S$300, manakala kesalahan ketiga akan didakwa di mahkamah.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.