Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura catat lagi 8 kematian, 2,909 kes baru COVID-19

Singapura melaporkan 2,909 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Jumaat (1 Okt) dan lagi lapan kematian akibat komplikasi disebabkan koronavirus itu.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura catat lagi 8 kematian, 2,909 kes baru COVID-19

(Gambar: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 02 Oct 2021 12:05AM Dikemas Kini : 02 Oct 2021 12:23AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 2,909 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Jumaat (1 Okt) dan lagi lapan kematian akibat komplikasi disebabkan koronavirus itu.

Mereka yang meninggal dunia terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita, kesemuanya warga Singapura.

Kesemua mereka adalah warga emas berusia antara 66 dengan 96 tahun, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Empat daripada mereka belum divaksin terhadap COVID-19. Dua belum lengkap di vaksin manakala baki dua lagi sudah lengkap divaksin.

Kesemuanya mempunyai pelbagai penyakit sedia ada, menurut MOH.

Angka kematian di Singapura akibat COVID-19 kini 103.

LEBIH 550 KES BARU ADALAH WARGA EMAS

Daripada kes-kes baru COVID-19 yang dilaporkan pada Jumaat, 2,897 adalah kes tempatan, terdiri daripada 2,079 kes dalam masyarakat dan 818 penghuni dormitori pekerja hijrahan.

Antara kes-kes itu, 556 merupakan warga emas berusia lebih 60 tahun, menurut MOH dalam kemas kini hariannya, yang dikeluarkan kepada media pada pukul 11.20 malam.

Terdapat juga 12 kes import, dengan tujuh daripada mereka dikesan semasa tiba di Singapura dan baki lima mula jatuh sakit semasa menjalani notis jangan keluar rumah atau pengasingan.

Setakat Jumaat, Singapura melaporkan jumlah terkumpul 99,430 kes COVID-19 sejak bermulanya pandemik.

PESAKIT DI HOSPITAL

Seramai 1,356 pesakit sedang berada di hospital, dengan kebanyakannya beransur pulih dan dipantau, menurut MOH.

Dalam kalangan mereka termasuk 222 kes penyakit serius yang memerlukan bantuan oksigen, naik sedikit daripada 204 yang dicatat pada Khamis (30 Sep). Seramai 34 pesakit dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Antara mereka yang sakit teruk, 214 adalah warga emas berusia lebih 60 tahun, berbanding 197 dalam lingkungan usia itu yang dilaporkan pada Khamis.

Sepanjang 28 hari lalu, jumlah kes tempatan yang tidak bergejala atau mengalami simptom ringan adalah 98.2 peratus.

Dalam tempoh yang sama, 471 kes memerlukan sokongan oksigen dan 52 berada di ICU.

Daripada jumlah tersebut, 51.1 peratus sudah lengkap divaksin dan 48.9 peratus belum divaksin atau belum lengkap divaksin.

KELOMPOK AKTIF


MOH menyatakan ia sedang "memantau dengan teliti" 10 kelompok besar yang aktif - lapan dormitori, Pasar Borong Pasir Panjang dan sebuah rumah jagaan.

Dengan 442 jangkitan COVID-19, kelompok di Blue Stars Dormitory di Jurong West adalah yang terbesar, dengan 21 kes baru.

Semua kelompok dormitori melibatkan jangkitan dalam dormitori, dalam kalangan penghuni, dengan tiada bukti menunjukkan penularan di luar dormitori, menurut MOH.

Terdapat satu kes baru di kelompok Pasar Borong Pasir Panjang, menjadikan bilangan jangkitan di sana sebanyak 165.

Daripada jumlah itu, 150 adalah pekerja di pasar tersebut, empat adalah pelawat niaga borong dan 11 adalah anggota seisi rumah kes-kes tersebut, dedah MOH.  

(Sumber: MOH)

(Sumber: MOH)

KEMAS KINI VAKSINASI

MOH menyatakan setakat Khamis, 82 peratus penduduk Singapura sudah selesai menjalani regimen penuh vaksinasi atau menerima dua dos vaksin COVID-19 manakala 85 peratus sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos.

Lebih 9.2 juta dos diberikan di bawah program vaksinasi kebangsaan, termasuk 236,849 suntikan perangsang, menurut kementerian itu lagi.

Lagi 198,533 dos vaksin lain yang diiktiraf di bawah senarai kegunaan darurat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah diberikan, iaitu meliputi 101,290 orang.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan