Skip to main content

Singapura

S'pura catat kemajuan dalam mobiliti pendidikan

Mobiliti pendidikan di Singapura sudah menunjukkan peningkatan sejak beberapa dekad lalu, menurut satu laporan yang dikeluarkan hari ini (23 Okt) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Oct 2018 09:00PM Dikemas Kini : 23 Oct 2018 09:18PM

SINGAPURA: Mobiliti pendidikan di Singapura sudah menunjukkan peningkatan sejak beberapa dekad lalu.

Namun satu laporan yang dikeluarkan hari ini (23 Okt) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mendapati Singapura mempunyai antara peratusan terendah bagi pelajar kurang mampu yang muncul dalam suku teratas pelajar cemerlang di negara itu.

Laporan OECD itu antara lain meninjau kesamarataan dalam pendidikan serta hambatan bagi mobiliti sosial di 72 ekonomi.

Ia menunjukkan Singapura berada dalam kalangan teratas di dunia dari segi mobiliti pendidikan.

Hampir 60 peratus daripada rakyat Singapura yang berusia antara 26 hingga 65 tahun mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi berbanding ibu bapa mereka.

Namun berdasarkan Program bagi Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) - yang merupakan ujian penanda aras sejagat OECD bagi para pelajar berusia 15 tahun- ia menunjukkan kurang daripada 10 peratus pelajar Singapura daripada keluarga kurang mampu meraih keputusan yang termasuk dalam golongan 25 peratus teratas di negara itu.

Keadaan tersebut berlaku meskipun lebih 40 peratus daripada mereka mahir dalam subjek sains, membaca dan matematik - jauh lebih tinggi daripada purata OECD.

Hasil kajian itu juga menunjukkan sekolah-sekolah yang mempunyai para pelajar dari sosio-ekonomi yang berbeza-beza ada kaitan dengan prestasi yang lebih rendah.

Maka itu, laporan itu mengusulkan beberapa saranan dasar seperti mengadakan program yang "menyokong para pelajar kurang mampu di peringkat-peringkat di mana gejala ketidaksamarataan didapati paling ketara".

Tinjauan itu yang dijalankan antara 2014 hingga 2015 melibatkan sekitar 5,400 rakyat dewasa tempatan. 

Sumber : CNA/NT/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita