Skip to main content

Singapura

S'pura boleh jadi contoh negara yang komited tangani perubahan iklim

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada Selasa (16 Feb), Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata teknologi akan menjadi salah satu penggerak utama Singapura dalam menangani perubahan iklim dan mengurangkan jejak karbon Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura boleh jadi contoh negara yang komited tangani perubahan iklim

(Gambar hiasan: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada Selasa (16 Feb), Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata teknologi akan menjadi salah satu penggerak utama Singapura dalam menangani perubahan iklim dan mengurangkan jejak karbon Singapura.

"Tidak seperti pandemik COVID-19, yang merupakan kejutan yang mendadak, perubahan iklim adalah risiko yang berlaku secara beransur-ansur dan meningkat dari tahun ke tahun," kata DPM Heng.

Menurutnya, pelbagai agensi pemerintah akan bekerjasama untuk memajukan Pelan Hijau Singapura 2030.

Antara yang diumumkan termasuk peruntukan S$30 juta bagi inisiatif-inisiatif berkaitan kenderaan elektrik (EV) semakan cukai karbon serta pengeluaran bon hijau untuk membiayai projek-projek awam.

Sebanyak S$60 juta juga disediakan untuk membantu ladang-ladang di sini menggunakan teknologi tinggi.

LANGKAH BERANI UNTUK MAJUKAN PELAN HIJAU

"Saya rasa apa yang kita perlukan pada masa ini adalah langkah berani dan komitmen untuk memenuhi visi kemampanan Singapura dan peruntukan Belanjawan kali ini merupakan satu komitmen pemerintah untuk memajukannya," kata Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio Nadia Ahmad Samdin kepada BERITAmediacorp.

"Saya juga benar-benar merasakan bahawa Pelan Hijau Singapura ini bukan pendekatan dari atas ke bawah (top-down). Ia benar-benar telah mengambil kira pandangan dan gesaan daripada para aktivis persekitaran, dan juga warga Singapura pada umumnya, yang lebih menghargai alam sekitar dan bagaimana kita perlu mempunyai gaya hidup yang lebih mampan."

Cik Nadia yakin Singapura dapat dijadikan contoh yang baik kepada negara-negara yang lain di mana rakyat, industri dan pemerintah bersatu dalam komitmen untuk menangani perubahan iklim.

MENARIK DAN BUKA PELUANG BARU

Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Encik Sharael Taha juga melihat rancangan itu sebagai sesuatu yang sangat menarik.

"Ini benar-benar masa yang menggembirakan bagi kita untuk bergerak ke arah pembangunan yang mampan dengan adanya penggabungan teknologi, tenaga manusia dan yang lebih penting pemikiran secara bersama untuk mengubah sesuatu," kata beliau.

Lebih daripada itu, ia akan mencipta peluang-peluang pekerjaan dalam industri-industri baru yang berkaitan untuk rakyat Singapura seperti bidang teknologi hijau dan huraian kemampanan.

Encik Sharael, yang merupakan seorang karyawan dalam sektor aeroangkasa turut mengulas tentang bantuan yang disediakan buat sektor itu.

Menurut beliau lanjutan Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) sebanyak S$700 juta bagi sektor penerbangan, aeroangkasa dan pelancongan adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan.

"Sebenarnya banyak syarikat dalam industri ini benar-benar menjangkakan bahawa sokongan itu tidak akan diberikan lagi dan mereka bimbang kerana sektor ini mungkin mengambil masa setahun dua lagi untuk pulih," kongsi Encik Sharael.

Namun JSS hanya satu bentuk bantuan jangka pendek berkaitan gaji, dan beliau menarik perhatian pada pelbagai jenis sokongan yang disediakan pemerintah untuk memastikan sektor-sektor berkenaan kekal berdaya saing.

Syarikat penerbangan dan pemain lain akan menerima bantuan kewangan sebanyak S$870 juta tahun ini.

"Sektor ini sudahpun memulakan proses transformasi untuk memanfaatkan peralihan kepada pelaksanaan teknologi Industri 4.0 dan ini memastikan Singapura kekal sebagai pusat Asia-Global," ujar beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita