Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura berniat import 30% bekalan elektrik dari sumber rendah karbon jelang 2035

Singapura berhasrat mengimport sehingga empat gigawatt (GW) elektrik rendah karbon menjelang 2035, yang akan membentuk sekitar 30 peratus daripada bekalan elektrik Singapura pada tahun itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Oct 2021 01:31PM Dikemas Kini : 25 Oct 2021 09:57PM

SINGAPURA: Singapura berhasrat mengimport sehingga empat gigawatt (GW) elektrik rendah karbon menjelang 2035, yang akan membentuk sekitar 30 peratus daripada bekalan elektrik Singapura pada tahun itu.

Ini sedang Singapura berusaha mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor tenaganya dan mempelbagaikan sumber bekalan tenaga untuk meningkatkan keselamatan.

Dalam satu kenyataan media hari ini (25 Okt), Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) mengumumkan bahawa ia berhasrat untuk mengeluarkan dua permintaan bagi cadangan untuk import elektrik rendah karbon sejumlah 4GW.

Permintaan itu akan menggariskan syarat-syarat, termasuk bagaimana import elektrik seharusnya datang dari sumber rendah karbon, menurut EMA.

"Cadangan bagi tenaga elektrik yang diimport daripada sumber penjana berasaskan arang batu tidak akan diterima," tambahnya.

Permintaan pertama bagi cadangan, yang akan dikeluarkan bulan depan, akan mengimport elektrik hingga 1.2GW dan bermula pada 2027. Permintaan kedua dijangka dikeluarkan pada suku kedua 2022, untuk baki elektrik import menjelang 2035.

Permintaan bagi cadangan import elektrik akan membolehkan Singapura meneruskan usahanya dalam membangunkan grid kuasa serantau dan menyokong usaha pembebasan karbon serantau, di samping menyokong tindakan iklim dan mempelbagaikan sumber tenaga, menurut EMA.

Selain import elektrik rendah karbon, baki bekalan elektrik akan terus datang daripada pelbagai sumber, mulai dari loji tenaga gas asli sedia ada hingga ke sumber tenaga suria dan sisa-kepada-tenaga.

Berucap di pembukaan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata langkah mengimport tenaga rendah karbon akan menjadi "tindakan yang membawa kesan besar" kepada peralihan tenaga Singapura dalam jangka terdekat hingga pertengahan.

Sementara negara berinovasi untuk mengurangkan jejak karbonnya, seperti meningkatkan kecekapan tenaga dan memanfaatkan tenaga suria, beliau berkata usaha-usaha seperti itu sahaja "tidak mencukupi".

"Meningkatkan kecekapan tenaga loji tenaga gas asli kita hanya, yang paling baik, dapat mengurangkan pelepasan karbon sekitar 10 peratus sahaja," katanya.

"Pengurangan (karbon) yang bermakna hanya dapat dilakukan dengan memanfaatkan tenaga rendah karbon di luar pesisir kita, dan dengan mengembangkan penggunaan alternatif rendah karbon, seperti hidrogen, dalam jangka panjang."

Beliau menambah bahawa peralihan ke tenaga boleh diperbaharui, termasuk mengimport elektrik, mungkin tidak bermakna bekalan elektrik yang lebih murah.

"Walaupun kos penjanaan mungkin lebih rendah, biaya pengaliran dan sokongan, serta peningkatan grid yang diperlukan, akan menambah biaya keseluruhan. Ini adalah imbalan yang tidak dapat dielakkan tetapi perlu dalam peralihan tenaga," katanya.

UJIAN BAGI IMPORT TENAGA ELEKTRIK

Sebagai persediaan untuk mengimport elektrik pada masa hadapan, pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi sejak dua tahun lalu dalam percubaan untuk mengimport elektrik.

Percubaan ini membolehkan EMA menilai dan memperhalusi kerangka teknikal dan peraturan untuk mengimport elektrik ke Singapura, jelas pihak berkuasa.

EMA sudah melantik YTL PowerSeraya bagi ujian selama dua tahun untuk mengimport 100 megawatt (MW) elektrik dari Semenanjung Malaysia, berikutan permintaan awal untuk cadangan yang dimulakan pada Mac. Ia dijangka bermula pada awal tahun depan.

EMA juga sedang memulakan program perintis untuk mengimport elektrik tidak putus-putus (non-intermitten) bersamaan100MW dari ladang suria di Pulau Bulan di Indonesia.

Program perintis itu, yang dijangka dapat dilancarkan pada 2024, akan dilakukan dengan konsortium yang diterajui oleh syarikat penjana tenaga PacificLight Power. Tenaga elektrik akan dibekalkan melalui penyambung baru yang menghubungkan terus ladang suria di Pulau Bulan ke stesen janakuasa PacificLight Power di Singapura.

Singapura juga sedang mengusahakan projek untuk mengimport kuasa sehingga 100MW dari Laos ke Singapura melalui Thailand dan Malaysia. Dipanggil sebagai Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura, tenaga elektrik akan dibekalkan menggunakan penyambungan antara 2022 hingga 2023.

Bulan lalu, keempat-empat negara itu mengesahkan lagi komitmen terhadap projek tersebut dan menyatakan bahawa pihak mereka mengalu-alukan penyelesaian awal semua perjanjian yang mendasari projek tersebut untuk memulakan perdagangan tenaga rentas sempadan tahun depan.

S$55 JUTA DIANUGERAHKAN

Meskipun mengimport bekalan elektrik akan MEmainkan peranan penting dalam peralihan tenaga Singapura, negara tidak boleh bergantung kepada langkah itu sahaja dalam usahanya mengurangkan pelepasan karbon dalam bekalan elektrik, kata Encik Gan.

Lantas, perlu ada penerokaan bagi huraian-huraian baru tenaga bagi memenuhi permintaan jangka panjang dan sasaran rendah pelepasan, tambahnya.

Hari ini diumumkan bahawa Pemerintah sudah memberikan S$55 juta di bawah Inisiatif Pembiayaan Penyelidikan Tenaga Rendah Karbon, untuk menyokong 12 projek huraian teknologi tenaga rendah karbon. Ini termasuk projek penyelidikan, pembangunan dan demonstrasi.

Ia merupakan tambahan daripada S$49 juta yang diperuntukkan tahun lalu, disebabkan oleh "banyak cadangan yang baik" yang diterima, kata Encik Gan.

Sebanyak 12 projek yang dianugerahi dana itu akan mempertingkat daya maju teknikal dan ekonomi untuk melaksanakan teknologi rendah karbon yang menyokong usaha mengurangkan karbon dalam sektor kuasa dan industri Singapura, dalam dua bidang utama penangkapan, penggunaan dan penyimpanan hidrogen dan karbon.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan