S'pura berjaya menjadi suara neutral yang dipercayai selaku pengerusi ASEAN: Pengamat
Sidang Puncak Asean ke-33 yang berlangsung di negara ini menutup tirainya pada Khamis (15 Nov).
SINGAPURA: Sidang Puncak Asean ke-33 yang berlangsung di negara ini menutup tirainya pada Khamis (15 Nov).
Menghimpunkan para pemimpin ASEAN serta rakan-rakan dunia yang lain, pelbagai mesyuarat diadakan ke arah mencapai wawasan ASEAN yang lebih bersatu-padu.
Meskipun persaingan kuasa dunia dan isu rentas sempadan berpotensi menjejas kestabilan, Singapura dilihat berjaya menjadi suara neutral yang dapat mengukuhkan pertubuhan serantau itu.
Apabila Singapura mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN, ia berhadapan dengan banyak cabaran global.
Singapura, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, antara lain mahu meningkatkan usaha untuk menubuhkan sistem perdagangan serantau yang bermutu tinggi, menggalakkan kolaborasi keselamatan siber, mewujudkan rangkaian bandar bijak ASEAN serta merapatkan lagi hubungan antara warga ASEAN.
Sungguhpun demikian, Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Mohamed Nawab Mohamed Osman, menarik perhatian bahawa satu kemajuan utama yang dicapai adalah draf teks rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan.
"Kesepakatan antara ASEAN dan China untuk mengatasi masalah Laut China Selatan, saya rasa adalah salah satu isu yang paling penting kerana ini adalah satu isu yang dihadapi oleh hampir semua negara-negara ASEAN seperti Vietnam, Indonesia, Malaysia, Filipina dan sebagainya.
Dan ini adalah kali pertama mungkin negara-negara ASEAN bersepakat dan sebagai satu suara menandatanganinya dan juga menghadapi masalah ini dengan lebih baik lagi," kata beliau.
Akur pengaruh ASEAN mungkin tidak begitu kuat untuk membantu mengatasi perbalahan dagangan antara China dan Amerika Syarikat, kesepakatan antara negara-negara ASEAN dalam bidang perdagangan dialu-alukan.
Dalam pada itu, rundingan lanjut mengenai Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) dikatakan sudah hampir berada di garisan penamat.
Mengenai prestasinya sebagai pengerusi ASEAN kali ini, Dr Nawab berkata Singapura berjaya menyatukan suara ASEAN.
"Jika kita lihat dasar hal ehwal luar Singapura, ia adalah satu dasar yang neutral, yang tidak berpihak kepada mana-mana pihak dan juga dasar luar ini adalah dasar yang kalau boleh tidak mahu melihat apa-apa perbalahan antara negara.
Jadi maknanya, Singapura tidak ada banyak masalah bilateral dengan negara-negara ASEAN yang lain, tidak ada beban sejarah dalam hal ehwal luar Singapura. Mungkin ini adalah salah satu sebab Singapura dipercayai oleh negara-negara yang lain."
Thailand mengambil alih jawatan sebagai pengerusi ASEAN dengan tumpuan terus diberikan kepada kerjasama lebih kukuh antara negara-negara anggotanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.