Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura bangunkan piawai baru sahkan keputusan ujian COVID-19 bagi perjalanan rentas sempadan

Singapura sudah membangunkan piawaian sejagat berdasarkan teknologi rantaian blok untuk memudahkan pengesahan dokumen-dokumen rentas sempadan.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura bangunkan piawai baru sahkan keputusan ujian COVID-19 bagi perjalanan rentas sempadan

Sampel sijil ujian COVID-19 yang sudah disahkan (kiri) dan sampel menggunakan platform Verify (kanan). (Gambar: SNDGG)

Diterbitkan : 26 Feb 2021 11:59PM Dikemas Kini : 27 Feb 2021 12:06AM

SINGAPURA: Singapura sudah membangunkan piawaian sejagat berdasarkan teknologi rantaian blok untuk memudahkan pengesahan dokumen-dokumen rentas sempadan, seperti keputusan ujian COVID-19 sebelum berlepas.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak, Vivian Balakrishnan hari ini (26 Feb).

Berucap semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) bagi Pejabat Perdana Menteri, Dr Balakrishnan berkata keputusan ujian sebelum berlepas yang sudah disahkan akan disediakan menerusi aplikasi SingPass. Pemerintah juga akan menimbangkan untuk memperluaskannya kepada dokumen-dokumen vaksinasi.

BAGAIMANA IA BERFUNGSI?

Dikenali sebagai HealthCerts, piawai digital terbuka yang digunakan untuk mengeluarkan sijil digital keputusan ujian COVID-19, dibangunkan oleh Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) Singapura dan Kementerian Kesihatan (MOH).

Sejajar dengan syarat-syarat penguasa antarabangsa dan juga tempatan, ia boleh melancarkan serta mempercepat proses bagi para pengunjung melepasi imigresen dan pusat-pusat pemeriksaan luar negara. Ini akan memudahkan penyambungan semula perjalanan rentas sempadan secara selamat, menurut Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) menerusi satu kenyataan media.

Proses mendapatkan sijil digital keputusan ujian COVID-19. (Grafik: SNDGG)

Proses mendapatkan sijil digital keputusan ujian COVID-19. (Grafik: SNDGG)

Mulai 10 Mac, para pengunjung yang menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas di klinik-klinik yang diberi kuasa mengendalikan ujian tersebut di Singapura akan menerima keputusan mereka dalam bentuk digital yang sejajar dengan HealthCerts. Ini boleh dikirimkan dalam bentuk lampiran atau pautan URL kepada sijil digital tersebut, menurut SNDGG.

Para pengunjung kemudian perlu memuat naik sijil digital daripada klinik ke satu laman berasingan yang dipanggil 'Notarise'.

Sistem ini membolehkan sijil-sijil yang dikeluarkan di Singapura disahkan oleh MOH supaya ia diiktiraf di lapangan terbang dan luar negara.

Selepas itu, para pengguna akan menerima sijil ujian COVID-19 sebelum berlepas, yang sudah disahkan dan mengandungi kod QR yang dikirimkan menerusi emel dan/atau aplikasi SingPass.

Menurut soalan-soalan yang kerap ditanya di laman Notarise, individu-individu boleh menjangkakan respons dalam tempoh 12 jam.

Di lapangan terbang dan pusat pemeriksaan imigresen, para pengunjung boleh menunjukkan sijil yang sudah disahkan dan yang mengandungi kod QR tersebut - sama ada dalam bentuk digital atau salinan yang dicetak - untuk pengesahan.

Dengan mengimbas kod QR, kakitangan syarikat penerbangan atau penguasa imigresen akan dapat memeriksa ketulenan sijil digital tersebut menerusi platform berasingan yang dibangunkan oleh GovTech.

Platform itu, yang dipanggil Verify, akan memeriksa sama ada sijil itu sudah diubah atau jika ia disahkan MOH, menurut SNDGG.

Sehingga 24 Februari, sembilan syarikat diluluskan untuk bekerjasama dengan klinik-klinik untuk mengeluarkan sijil-sijil mengikut piawaian HealthCerts, tambahnya.

Mengulas tentang usaha memperluas HealthCerts kepada sijil-sijil vaksinasi, SNDGG menyatakan Pemerintah sedang "meneliti rapi" perkembangan antarabangsa dari segi penggunaan siji vaksinasi digital bagi perjalanan ke luar negara.

Ia sedang dalam perbincangan dengan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa serta pelbagai negara untuk saling mengiktiraf pensijilan sedemikian. Namun perbincangan-perbincangan sedemikian "akan mengambil masa kerana banyak negara baru sahaja memulakan vaksinasi," tambahnya.

"Saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) buat masa ini adalah vaksinasi COVID-19 tidak boleh dijadikan syarat kemasukan (ke sesebuah negara)," menurut SNDGG.

HealthCerts bergantung kepada rangka kerja terbuka yang dipanggil OpenAttestation, yang menggunakan rangkaian blok untuk mengeluarkan dokumen-dokumen yang boleh dipercayai secara teknik kriptografi yang boleh disahkan secara bebas tanpa memerlukan sofwe atau peralatan hak milik.

Dokumen-dokumen yang dikeluarkan menggunakan rangka kerja itu tidak boleh diubah, menurut SNDGG.

Sektor privet boleh menyepadukan piawai baru digital itu ke dalam huraian-huraian pengesahannya, menurut SNDGG.

Contohnya, aplikasi Unifier yang dibangunkan oleh syarikat pemula Affinidi yang ada kaitan dengan Temasek, yang kini digunakan Singapore Airlines dalam satu percubaan, boleh mengesahkan sijil-sijil yang dikeluarkan mengikut piawai HealthCerts.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan