Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura bakal tubuh universiti seni pertama hasil kerjasama NAFA-Kolej Seni LASALLE

Universiti seni pertama di Singapura akan ditubuhkan hasil kerjasama antara Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) dan Kolej Seni LASALLE, menurut Menteri Pendidikan Lawrence Wong pada Rabu (3 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Mar 2021 08:03PM Dikemas Kini : 03 Mar 2021 09:08PM

SINGAPURA: Universiti seni pertama di Singapura akan ditubuhkan hasil kerjasama antara Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) dan Kolej Seni LASALLE, menurut Menteri Pendidikan Lawrence Wong pada Rabu (3 Mac).

Ia adalah sebuah universiti swasta yang disokong Pemerintah, dengan LASALLE dan NAFA sebagai kolej seinduk dan kedua-duanya kekal sebagai sekolah berbeza yang menawarkan program tersendiri, katanya lagi.

Berucap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Pendidikan (MOE) di Parlimen, Encik Wong berkata: "MOE sangat yakin dengan keperluan untuk memupuk lebih banyak bakat menerusi pelbagai laluan pendidikan. Dalam fasa pembangunan seterusnya, kami memerlukan kerencaman bakat ini dalam STEM, dan juga dalam seni, reka bentuk dan media."

Sambil menambah bahawa kedua-dua institusi itu "semakin berkembang maju", beliau berkata: "Disebabkan oleh mutu dan piawai yang dicapai oleh LASALLE dan NAFA, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa MOE akan membenarkan perikatan itu untuk menawarkan ijazahnya yang tersendiri dan juga memberikannya status sebagai sebuah universiti. Dengan itu, ia bakal menjadi universiti seni yang pertama di Singapura."

Universiti itu dijangka dibangunkan dalam masa tiga hingga empat tahun akan datang, menurut MOE dalam kenyataan medianya.

Buat masa ini, LASALLE dan NAFA memberikan ijazah hasil kerjasama dengan universiti-universiti terkenal di luar negara seperti Goldsmiths, Royal College of Music dan Universiti Seni London, kata Encik Wong, sambil menambah bahawa program-program itu diberikan subsidi oleh MOE.

LASALLE dan NAFA masing-masing mengambil masuk sekitar 300 dan 130 rakyat tempatan serta Penduduk Tetap Singapura (PR) bagi program-program ijazah mereka bagi tahun akademik 2020, menurut MOE dalam satu kertas fakta yang berasingan.

MOE dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) akan bekerjasama dengan LASALLE dan NAFA untuk menubuhkan universiti tersebut, katanya.

MOE sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa sementara untuk bekerjasama dengan kedua-dua institusi itu bagi membangunkan struktur dan model operasi universiti seni yang baru itu dan kerja-kerjanya dijangka selesai sebelum awal 2023, menurut MOE dalam kenyataan medianya.

Terdapat model serupa di luar negara seperti kerjasama antara Universiti Kebangsaan Ireland, Conservatoire for Dance and Drama (Sekolah Muzik bagi Tarian dan Drama) dan Universiti Seni London, menurut MOE dalam kertas faktanya.

Jawatankuasa itu akan mengambil rujukan dari model luar negara semasa bekerjasama dengan LASALLE dan NAFA untuk menghasilkan model yang "unik dan relevan kepada konteks Singapura", menurut MOE.

SKIM PENGUMPULAN BERDASARKAN SUBJEK SECARA PENUH

Sekitar 30 lagi sekolah menengah akan melaksanakan Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) pada 2022, kata Encik Wong, dalam satu kemas kini bagi skim itu.

Sambil menambah bahawa dapatan awal daripada 28 sekolah menengah yang merintis SBB sebelum ini adalah "sangat menggalakkan", beliau berkata: "Para pelajar dalam kelas ini dapat belajar dengan baik. Mereka juga dapat berkawan dengan para pelajar daripada kursus-kursus yang berbeza.

"Paling penting sekali, mereka mempelajari bagaimana untuk menghormati dan menghargai perbezaan dan kekuatan satu sama lain. Dan dengan perspektif yang lebih pelbagai, perbincangan dalam bilik darjah menjadi lebih menarik.

"Segelintir pelajar yang mengambil subjek-subjek di peringkat lebih mencabar berasa khuatir pada awalnya. Namun dengan sokongan dan dorongan daripada para guru dan rakan sedarjah, mereka mencatat kemajuan baik dalam pembelajaran dan berasa seronok mengikuti kelas masing-masing."

Menurut Encik Wong, sekolah-sekolah menengah yang lain akan melaksanakan SBB menjelang 2023 dan 2024.

MOE juga sedang menyemak laluan pendidikan posmenengah supaya para pelajar mempunyai lebih banyak peluang untuk mengikuti kursus posmenengah selari dengan kekuatan dan minat mereka, kata Encik Wong.

"Khususnya, kami sedang mengambil langkah untuk mempertingkatkan pendidikan politeknik dan ITE bagi memastikan ia kekal responsif kepada aspirasi para pelajar dan keperluan ekonomi di masa hadapan," katanya.

Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohd Maliki Osman sedang menerajui usaha untuk menyemak peluang dan laluan posmenengah bagi pembelajaran gunaan di politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Sambil menarik perhatian bahawa sekitar 30 peratus daripada lulusan Nitec tidak melanjutkan pengajian ke peringkat Nitec Lanjutan atau laluan peningkatan lain yang dibiayai awam, Encik Wong berkata MOE sedang menyemak struktur kurikulum bagi membolehkan lebih ramai pelajar mendapatkan sijil Nitec Lanjutan.

Dengan lebih ramai pelajar ITE juga ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma, MOE akan memperluaskan kursus diploma, kata Encik Wong.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan