S'pura, Australia anjur latihan tentera laut tanpa interaksi fizikal ekoran COVID-19
Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) dan Tentera Laut Diraja Australia (RAN) memulakan latihan dua hala pada Sabtu (26 Sep) di bahagian selatan Laut China Selatan. Tahun ini menandakan ulang tahun ke-25 Latihan Singaroo.
Latihan Singaroo antara tentera laut Singapura dengan Australia (Gambar: MINDEF)
SINGAPURA: Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) dan Tentera Laut Diraja Australia (RAN) memulakan latihan dua hala pada Sabtu (26 Sep) di bahagian selatan Laut China Selatan.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-25 Latihan Singaroo.
Tidak akan ada interaksi fizikal antara kakitangan kedua-dua angkatan laut disebabkan COVID-19, menurut Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) dalam satu kenyataan media.
"Sepanjang latihan, kedua-dua angkatan laut akan melakukan pelbagai bentuk latihan termasuk mengerahkan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) untuk misi pengawasan dan mengenal pasti ancaman," menurut MINDEF.
Latihan yang tamat pada Isnin itu, juga akan disokong tiga pesawat dari Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).
"Latihan Singaroo berfungsi sebagai wadah berguna bagi RSN dan RAN untuk menjalankan latihan di ruang udara, selain di dasar dan dalam laut," kata Komander Armada Ke-8 RSN, Kolonel Ho Jee Kien.
"Sedang kita memperingati ulang tahun ke-25 latihan tahun ini, kita mengalu-alukan kerjasama dan persahabatan yang erat selama bertahun-tahun antara kedua tentera laut kita."
Angkatan Bersenjata Singapura dan Angkatan Pertahanan Australia berkongsi sejarah panjang dalam kerjasama ketenteraan, dalam bentuk latihan dua hala dan pelbagai hala, lawatan peringkat tinggi, kerjasama operasi dan pertukaran profesional.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.