S'pura ambil langkah perangi kepalsuan online dengan bentangkan 2 rang undang-undang baru di parlimen
Singapura mengambil langkah besar dalam memerangi kepalsuan online dengan membentangkan dua rang undang-undang baru di parlimen pada Isnin (1 Apr).
Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Frederic J Brown)
SINGAPURA: Singapura mengambil langkah besar dalam memerangi kepalsuan online dengan membentangkan dua rang undang-undang baru di parlimen pada Isnin (1 Apr).
Undang-undang baru yang disarankan itu mentakrifkan pernyataan palsu sebagai sesuatu yang tidak benar atau mengelirukan.
Bagaimanapun ia tidak meliputi pandangan atau kritikan.
Rang Perlindungan daripada Kepalsuan Online dan Manipulasi akan memberi pihak berkuasa hak untuk mengarahkan pembetulan dibuat, malah dalam kes-kes lebih serius, berita palsu itu mesti diturunkan.
Lelaman yang berulang kali memaparkan berita palsu akan tertakluk kepada rejim perisytiharan dan mungkin perlu mematuhi Kod Amalan.
Sementara itu pindaan kepada Rang Undang Perlindungan daripada Akta Gangguan akan memberi perlindungan lebih baik kepada mangsa-mangsa kepalsuan online.
Mahkamah boleh mengarahkan beberapa tindakan termasuk membuat pembetulan atau notis menghapuskan berita palsu itu.
Doxxing, iaitu perbuatan mengongsi maklumat peribadi individu di wadah online sebagai gangguan, dijangka juga dijadikan satu jenayah.
Sebuah mahkamah spesialis dengan prosedur yang diselaraskan dan tempoh masa lebih pendek akan juga diubuhkan.
Apabila kepalsuan online didapati menggugat kepentingan awam, undang-undang baru yang disarankan akan memberi kuasa kepada pemerintah untuk mengarahkan agar fakta-fakta dimuatnaikkan bersama dengan catatan palsu itu.
Dalam kes-kes yang lebih serius, pemerintah juga boleh mengarahkan agar catatan tersebut dibawa turun.
Salah satu saranan adalah menggunakan cara pembetulan.
Ini bermakna fakta diletakkan bersebelahan dengan catatan palsu itu.
Terdapat dua cara pembetulan.
Pertama adalah bagi kepalsuan yang disasarkan di wadah online.
Pembetulan harus dibuat agar para pengguna dapat melihat dengan jelas pembetulan yang dilakukan.
Tetapi jika catatan palsu itu tersebar luas, pemerintah boleh mengeluarkan perintah pembetulan.
Ini bermakna wadah online yang terlibat dan agensi berita perlu membuat liputan mengenai pembetulan tersebut.
Dan jika ia boleh mencetuskan bahaya, pemerintah boleh mengarahkan agar catatan itu dibawa turun.
Wadah online di mana catatan itu diletakkan juga perlu menyekat akses kepada catatan tersebut buat tempoh yang ditetapkan.
Mereka yang tidak mematuhi arahan boleh didenda S$20,000 dan dipenjara selama setahun.
Syarikat-syarikat media sosial pula boleh menghadapi denda maksimum S$1 juta.
Undang-undang baru terhadap kepalsuan online termasuk denda terhadap pesalah.
Ini meliputi mereka yang dengan sengaja menyebarkan berita palsu secara online dengan denda yang lebih berat bagi mereka yang menyamar sebagai robot untuk melakukannya.
Mereka yang menggunakan robot boleh didenda sehingga S$30,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun.
Hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika ia akan atau besar kemungkinan membahayakan kepentingan awam.
Undang-undang baru itu juga akan mengenakan denda kepada mereka yang meraih keuntungan daripada penyebaran berita palsu.
Jumlah denda yang dikenakan akan mengikut jumlah keuntungan yang diraih.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.