Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura alu-alukan kerjasama dengan M'sia, tingkat keselamatan di Middle Rocks, Pedra Branca

Singapura bersedia untuk memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Malaysia di sekitar Middle Rocks dan Pedra Branca, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen, sambil menambah bahawa ini akan mengurangkan sumber-sumber yang diperlukan untuk mengawal laluan-laluan perkapalan penting di kawasan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jun 2018 08:19PM Dikemas Kini : 30 Jun 2018 10:22PM

SINGAPURA: Singapura bersedia untuk memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Malaysia di sekitar Middle Rocks dan Pedra Branca, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen, sambil menambah bahawa ini akan mengurangkan sumber-sumber yang diperlukan untuk mengawal laluan-laluan perkapalan penting di kawasan itu.

Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu sebelum ini menyarankan dalam satu wawancara pada Khamis (28 Jun) supaya kedua-dua negara mempertingkat keselamatan di kawasan perairan itu, yang berfungsi sebagai laluan masuk utama Selat Singapura yang menghubungkan ekonomi-ekonomi besar di Timur Tengah dan Asia Timur.

"Saya menyokong beliau sepenuhnya," kata Dr Ng kepada para wartawan semalam (29 Jun), sehari sebelum Hari SAF. "Ia tidak munasabah untuk mengerahkan lebih banyak lagi sumber di sekitar Pedra Branca atau Middle Rocks jika kami boleh bersetuju dengan satu rancangan bersama."

Buat masa ini, kedua-dua negara, bersama Indonesia dan Thailand, mengadakan rondaan di Selat Melaka dan Singapura secara bersama. Pasukan-pasukan tentera laut bertemu secara tetap untuk menyemak dan mempertingkat penyelarasan dan bertukar-tukar maklumat risikan tentang insiden-insiden yang mencurigakan.

"Ia akan mengurangkan keperluan kami di sana, dan kami boleh mencapai persefahaman seperti mana kami lakukan dalam operasi mencari dan menyelamat," kata Dr Ng tanpa mengulas lebih lanjut. Beliau turut memuji "pandangan progresif" rakan sejawatannya dari Malaysia itu.

Oleh itu, Dr Ng berkata beliau akan mempertimbangkan saranan itu di mesyuarat-mesyuarat dua atau berbilang hala akan datang. "Sebagai negara jiran terdekat kami, semestinya kami bekerjasama dan mencari lebih banyak peluang untuk melakukan lebih banyak lagi bersama," katanya lagi.

TIDAK PERLU TERBURU-BURU BERI REAKSI

Komen menteri itu dikeluarkan sedang hubungan antara Singapura dengan Malaysia menjadi tumpuan.

Pada Isnin (25 Jun), Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menganggap harga air yang dijual kepada Singapura "tidak munasabah" dan beliau berikrar untuk berunding semula tentang perjanjian air yang dicapai beberapa dekad dahulu.

"Saya akan mengambil pendekatan yang matang, menghormati dan memahami kerajaan Malaysia yang baru," kata Dr Ng. "Saya mengerti bahawa pemimpin dan kerajaan baru mempunyai cara yang berlainan.

Atas sebab itu, Dr Ng berkata Singapura tidak perlu "memberi reaksi kepada setiap apa yang diungkapkan", sambil menambah bahawa Malaysia kini sedang menangani "pihak-pihak di dalam negeri".

HUBUNGAN S'PURA-M'SIA MASIH SANGAT BAIK

Dr Ng berkata bahawa kedua-dua negara perlu saling menghormati perjanjian dan undang-undang antarabangsa.

"Jika anda membicarakan tentang air, ya, sememanganya ada perjanjian-perjanjian air," tambahnya. "Jika anda bercakap tentang Middle Rocks, apa sahaja yang mereka ingin lakukan, jika ia mematuhi undang-undang antarabangsa, anda perlu menghormati hak mereka untuk melakukannya.

Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan ke atas Pedra Branca. Malaysia bagaimanapun mencabar keputusan itu tahun lalu tetapi menarik balik permohonannya selepas kerajaan baru mengambil alih.

Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran, Dr Ng menekankan bahawa adalah penting bagi kedua-dua negera untuk berganding bahu. "Jika kami boleh bantu, kami akan lakukan itu, tetapi atas dasar hormat dan manfaat bersama, kami merupakan negara berdaulat dengan keperluan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Dr Ng berkata hubungan antara rakyat Malaysia dengan Singapura "masih sangat baik".

"Tidak akan ada situasi di mana kurang ramai yang berkunjung ke Malaysia dan sebaliknya, kerana makanan kami masing-masing terlalu enak, misalnya, dan kami semua perlukan tempat-tempat untuk beristirahat," tambah Dr Ng. "Kami hidup berjiran selamanya. Kami perlu menerimanya."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan