S'pura akan tambak tanah sekitar Pedra Branca untuk bina kemudahan pertingkat keselamatan maritim
Singapura akan mula menambak tanah di sekitar Pedra Branca menjelang akhir tahun ini, sebagai sebahagian daripada kerja-kerja pembangunan yang sudah dirancang namun ditangguhkan ekoran pertikaian sebelum ini dengan Malaysia mengenai kedaulatan pulau itu.
Pedra Branca. (Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Singapura akan mula menambak tanah di sekitar Pedra Branca menjelang akhir tahun ini, sebagai sebahagian daripada kerja-kerja pembangunan yang sudah dirancang namun ditangguhkan ekoran pertikaian sebelum ini dengan Malaysia mengenai kedaulatan pulau itu.
Kerja-kerja tersebut akan menambah baik kemudahan di pulau tersebut dan membolehkan kapal berlabuh.
Kemudahan logistik sokongan pentadbiran dan komunikasi tambahan juga akan disediakan.
Langkah itu akan meningkatkan keselamatan maritim serta keupayaan mencari dan menyelamat di kawasan itu, umum Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Isnin (5 Jul).
“Secara umum, kerja-kerja pembangunan akan memberi kami pengawasan lebih baik ke atas perairan di kawasan Pedra Branca, dan membolehkan kami bertindak dengan lebih pantas untuk menangani ancaman keselamatan maritim," kata seorang jurucakap kementerian.
Kerja naik taraf yang diumumkan pada 2019 itu dijangka mengambil masa beberapa tahun.
Ia bakal dijalankan dalam jarak 0.9 kilometer (km) dari pulau sebesar 0.86 hektar itu dan sempadan perairan Singapura sekitar pulau berkenaan, kata MND dalam satu kenyataan.
"Semua kerja tambakan akan dijalankan selaras dengan undang-undang dalam negeri Singapura dan undang-undang antarabangsa," tambah jurucakap MND lagi.
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan bertanggungjawab atas kerja-kerja menambak kawasan seluas 7 hektar itu, yang sebesar 10 padang bola.
Antara fungsi HDB, selain membangunkan perumahan awam, adalah untuk menjalankan kerja-kerja menambak bagi Pemerintah.
Pedra Branca terletak di pintu masuk Selat Singapura, sekitar 44km dari bahagian timur negara ini.
Sekarang ini, ia menempatkan kemudahan bagi sistem maklumat lalu lintas kapal Singapura, yang mengawasi pergerakan kapal di perairan Singapura; sebuah landasan mendarat bagi helikopter; loji penyulingan air; menara komunikasi; dan stesen siaran semula tentera, yang memperbaiki hubungan tentera udara dan laut.
Pulau tersebut turut menempatkan Rumah Api Horsburgh, iaitu menara yang pertama seumpamanya di Singapura.
TUGAS PEMERINTAH DIJALANKAN DENGAN LEBIH SELAMAT, BERKESAN
MND menyatakan bahawa kerja-kerja pembangunan tersebut akan membantu agensi-agensi pemerintah menjalankan tugas dengan selamat dan lebih berkesan.
Mengumumkan pelan tersebut semasa perbahasan peruntukan MND pada 2019, Encik Lawrence Wong yang merupakan Menteri Pembangunan Negara ketika itu, berkata bahawa kerja-kerja penambakan tersebut bukan sahaja meningkatkan keselamatan maritim kawasan itu, malah menawarkan "respons lebih cepat dalam usaha mencari dan menyelamat".
MND menyatakan bahawa Singapura telah mempertimbangkan usaha pembangunan di Pedra Branca pada awal tahun 1970-an, tetapi ditangguhkan kerana pertikaian antara Singapura dengan Malaysia berhubung kedaulatan Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge.
Middle Rocks dan South Ledge adalah kawasan berbatu yang terletak di selatan Pedra Branca.
(Lukisan grafik: CNA)
Pertikaian berhubung Pedra Branca bermula pada 1979 apabila buat pertama kalinya, Malaysia menerbitkan peta yang menunjukkan pulau itu sebahagian wilayahnya.
Pertikaian itu dibawa ke Mahkamah Pengadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2003.
Pada 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura memiliki kedaulatan ke atas Pedra Branca.
Mahkamah tersebut menganugerahkan Middle Rocks kepada Malaysia dan memutuskan bahawa South Ledge adalah milik negara yang berada dalam wilayah perairan tersebut.
Pada 2017, Malaysia mulakan usaha untuk mencabar keputusan mahkamah tahun pada 2008 tetapi, dengan kerajaan baru yang mengambil alih kuasa pada 2018, ia menarik permohonannya dua minggu sebelum perbicaraan lisan dijadualkan pada tahun itu.
MND menyatakan bahawa keputusan ICJ menyatakan bahawa Singapura mempunyai rancangan untuk menambak tanah di Pedra Branca.
"Dengan Malaysia membatalkan permohonan bagi semakan semula dan tafsiran keputusan ICJ pada tahun 2018, Singapura akan meneruskan kerja-kerja pembangunan ini," kata kementerian itu.
KAJIAN ALAM SEKITAR
Satu kajian alam sekitar untuk menilai kesan kerja-kerja terhadap persekitaran dan ekologi laut sekitarnya serta keselamatan pelayaran mendapati bahawa ia dapat dikurangkan dengan langkah-langkah pencegahan.
Menjawab pertanyaan, jurucakap MND berkata bahawa penilaian kesan terhadap alam sekitar, yang dilakukan oleh syarikat runding cara DHI Air and Environment, mendapati kerja-kerja pembangunan tidak akan memberi kesan yang ketara terhadap arus, pergerakan sedimen, mutu air, pelayaran, kesihatan manusia dan kegiatan riadah.
Namun, habitat batu karang dalam lingkungan projek itu akan dipindahkan.
LAPORAN PENILAIAN TERBUKA PADA UMUM
Kementerian itu menambah bahawa Pemerintah juga akan mengambil langkah-langkah untuk memastikan bahawa kerja-kerja tersebut tidak menjejas keselamatan pelayaran kapal di daerah itu.
Dalam notis yang diterbitkan dalam Warta Pemerintah pada Isnin, HDB menyatakan bahawa laporan penilaian kesan alam sekitar sudah sedia untuk disemak orang ramai selama empat minggu.
Mereka yang berminat boleh membuat janji temu dengan agensi tersebut untuk membaca laporan tersebut.
MND menambah: "Pelbagai agensi teknikal dan perancangan akan mengkaji maklum balas orang ramai serta cadangan HDB untuk melaksanakan langkah-langkah tambahan bagi menangani sebarang maklum balas.
"Penilaian kesan ke atas alam sekitar kemudian akan dikemaskini dan dimuktamadkan, sebelum HDB mula mendapat kelulusan daripada badan kawal selia yang relevan untuk menjalankan kerja-kerja yang disarankan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.