Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura akan semak semula sasaran perubahan iklim, sedang pemimpin dunia persetujui perjanjian COP26

Pemerintah Singapura akan menyemak semula sasaran perubahan iklim negara ini selepas rundingan peringkat tinggi berakhir pada lewat Sabtu (13 Nov) di COP26.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Nov 2021 03:50PM Dikemas Kini : 14 Nov 2021 08:52PM

GLASGOW: Pemerintah Singapura akan menyemak semula sasaran perubahan iklim negara ini selepas rundingan peringkat tinggi berakhir pada lewat Sabtu (13 Nov) di COP26.

Perjanjian Iklim Glasgow akhirnya dipersetujui selepas rundingan berlarutan lebih 24 jam melepasi tarikh akhir yang ditetapkan di Glasgow.

Buat julung-julung kalinya, negara-negara dunia dengan sebulat suara bersetuju untuk mengurangkan pembakaran arang batu, berjanji akan menghadkan pelepasan karbon dan juga berikrar akan menghulurkan lebih banyak dana kepada negara-negara membangun membuat penyesuaian kepada kesan perubahan iklim.

Singapura turut bersetuju dengan teks terakhir perjanjian tersebut, yang menurut Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu, akan membantu mencapai sasaran untuk menghadkan pemanasan bumi kepada 1.5 darjah Selsius.

Sambil mengakui bahawa beliau kerap ditanya oleh para aktivis, badan-badan bukan pemerintah (NGO) serta sebilangan menteri tentang sasaran iklim Singapura secara keseluruhannya, Cik Fu berkata Singapura kini akan menyemak semula sasarannya.

Dalam Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) yang dikeluarkan pada 2020, Singapura menetapkan sasarannya untuk mencapai "mencapai sifar pelepasan karbon seawal mungkin pada separuh kedua abad ini".

"Kita akan meneliti apa yang perlu dilakukan, melihat tanggungjawab kita dan menyemak semula kedudukan kita. Kami akan menyemak NDC dengan serius. Pakej ini secara keseluruhannya memerlukan kita sebagai sebuah pihak untuk menelitinya dengan serius," kata beliau.

Pemantau Tindakan Iklim, iaitu analisis saintifik bebas yang memantau sasaran iklim sesebuah negara masih menyifatkan dasar-dasar iklim Singapura sebagai "secara kritikal tidak mencukupi" dan "sama sekali tidak seiring dengan Perjanjian Paris".

Namun, pada September lalu, Sekretariat Perubahan Iklim Nasional menyatakan laporan Pemantau Tindakan Iklim mungkin tidak mengambil kira sepenuhnya cabaran unik yang dihadapi Singapura.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan