S'pura akan mansuhkan had usia bagi rawatan IVF; perkenal subsidi baru
Singapura akan menggugurkan had usia bagi wanita menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) sebagai sebahagian daripada pelbagai langkah yang diumumkan pada Rabu (28 Ogos) untuk menyokong perkahwinan dan keibubapaan.
SINGAPURA: Singapura akan menggugurkan had usia bagi wanita menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) sebagai sebahagian daripada pelbagai langkah yang diumumkan pada Rabu (28 Ogos) untuk menyokong perkahwinan dan keibubapaan.
Buat masa ini, Singapura menetapkan had usia 45 tahun bagi wanita yang menjalani prosedur menggunakan teknologi untuk merangsang kehamilan (ART), termasuk rawatan IVF. Had usia ini juga akan ditiadakan mulai 1 Januari 2020.
Had bilangan kitaran IVF yang boleh dijalani oleh seseorang wanita - yang buat masa ini dihadkan kepada 10 kitaran untuk wanita berusia 40 tahun ke bawah dan lima bagi wanita yang melepasi usia 40 tahun - juga akan dimansuhkan.
PEMBIAYAAN BERSAMA BAGI PROSEDUR 'ART'
Pembiayaan bersama Pemerintah bagi prosedur ART juga akan dipertingkat.
Buat masa ini, pembiayaan bersama sehingga enam kitaran ART hanya ditawarkan kepada wanita yang berusia bawah 40 tahun pada permulaan kitaran ART. Mulai 2020, sehingga dua daripada enam kitaran ART yang dibiayai bersama boleh dilakukan pada usia 40 tahun ke atas, selagi pasangan sudah mencuba prosedur IUI sebelum mencecah usia 40 tahun.
Meskipun dengan sokongan lebih baik untuk wanita berumur menimang cahaya mata, Kementerian Kesihatan (MOH) memberi amaran bahawa risiko berlaku komplikasi semasa mengandung turut meningkat berdasarkan usia wanita yang hamil dan kadar kejayaan untuk ART diteruskan selepas mencecah usia 40 tahun tetap rendah.
"Kami akan terus menggalak para pasangan supaya berkahwin dan membina keluarga lebih awal," tekan kementerian itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.