Skip to main content

Singapura

S'pura akan larang pelawat UK atas kebimbangan jenis baru COVID-19; peraturan lebih ketat terhadap pelawat New South Wales

Para pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek dengan sejarah perjalanan ke United Kingdom (UK) baru-baru ini tidak akan dibenarkan memasuki Singapura mulai 11.59 malam pada Rabu (23 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Dec 2020 04:31PM Dikemas Kini : 22 Dec 2020 09:09PM

SINGAPURA: Para pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek dengan sejarah perjalanan ke United Kingdom (UK) baru-baru ini tidak akan dibenarkan memasuki Singapura mulai 11.59 malam pada Rabu (23 Dis), menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini.

Para pelawat, termasuk para pengunjung jangka pendek yang pernah ke UK dalam tempoh 14 hari lalu tidak akan dibenarkan memasuki atau melakukan persinggahan di Singapura, tambah MOH.

Ia diumumkan menyusuli penemuan jenis baru virus COVID-19 di UK yang disifatkan oleh Setiausaha Kesihatan Britain Matt Hancock sebagai "tidak terkawal".

"Terdapat laporan baru-baru ini tentang kemungkinan jenis baru virus COVID-19 yang lebih mudah berjangkit itu sedang menular di UK," menurut MOH.

"Para pegawai di UK juga prihatin terhadap virus baru itu dan sudah melaksanakan sekatan-sekatan yang lebih ketat termasuk mengenakan perintah berkurung di London.

"Bagi mengurangkan risiko penularannya di Singapura, kami melaksanakan sekatan-sekatan sempadan yang baru terhadap para pelawat dari UK sebagai langkah berjaga-jaga," tambah MOH.

Langkah yang diambil Singapura itu serupa dengan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh negara-negara lain yang sudah mula melarang penerbangan dari Britain termasuk Hong Kong, India, Jerman dan Perancis.

Larangan itu juga dikenakan ke atas para pelawat yang sudah mendapatkan keizinan sebelum ini untuk memasuki Singapura.

Rakyat dan Penduduk Tetap (PR) Singapura yang pulang ke negara ini perlu menjalani ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) COVID-19 sebaik saja mereka tiba di Singapura iaitu pada permulaan tempoh Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 14 hari di sini.

Di bawah peraturan baru itu, semua pelawat yang tiba dari UK perlu menjalani SHN 14 hari di kemudahan-kemudahan yang dikhususkan.

Golongan bukan penduduk Singapura juga dikehendaki untuk menunjukkan hasil ujian swab yang negatif dalam tempoh 72 jam sebelum melakukan penerbangan ke Singapura.

Menurut pihak berkuasa kesihatan di UK, jenis baru virus COVID-19 itu mungkin 70 peratus lebih mudah berjangkit.

Walaupun tidak banyak yang diketahui tentang varian baru itu, para pakar berpendapat bahawa vaksin yang ada sekarang masih berkesan untuk melawannya.

LANGKAH LEBIH KETAT BAGI PELAWAT DARI NEW SOUTH WALES

Peraturan sempadan bagi para pelawat yang mempunyai sejarah perjalanan ke New South Wales di Australia dalam tempoh 14 hari lalu juga akan diperketatkan mulai 11.59 malam pada Rabu.

Ini disebabkan oleh peningkatan pada jumlah kes baru COVID-19 di wilayah tersebut, jelas MOH.

Semua pelawat dari Australia dikehendaki mengisytiharkan sejarah perjalanan mereka semasa mendaftarkan diri di lapangan terbang sebelum melakukan penerbangan ke Singapura.

Para pelawat yang memegang Pas Perjalanan Udara dan pernah ke New South Wales dalam tempoh 14 hari sebelum melakukan penerbangan ke Singapura juga tidak dibenarkan untuk memasuki negara ini.

Rakyat, Penduduk Tetap (PR) dan para pemegang pas jangka panjang akan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari di kediaman mereka.

Mereka juga perlu menjalani ujian PCR COVID-19 sebelum tempoh notis itu berakhir.

Buat masa ini, semua pelawat dari Australia dibenarkan menjalani ujian PCR COVID-19 sejurus selepas mereka tiba di sini.

Jika hasil ujian itu negatif, mereka akan dibenarkan untuk meneruskan kegiatan di Singapura tanpa menjalani SHN. 

Sumber : CNA/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita