Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura akan labur S$25 bilion dalam bidang R&D sepanjang 5 tahun mendatang

Singapura akan membelanjakan S$25 bilion sepanjang lima tahun akan datang dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), dengan tumpuan pada bidang-bidang seperti menangani perubahan iklim dan meningkatkan pembangunan pranatal.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Dec 2020 09:13PM Dikemas Kini : 11 Dec 2020 10:18PM

SINGAPURA: Singapura akan membelanjakan S$25 bilion sepanjang lima tahun akan datang dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), dengan tumpuan pada bidang-bidang seperti menangani perubahan iklim dan meningkatkan pembangunan pranatal. Demikian diumumkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Jumaat (11 Dis).

Ini sekitar 32 peratus lebih tinggi berbanding dana S$19 bilion yang diperuntukkan sepanjang lima tahun lalu.

Pelaburan R&D dikekalkan pada sekitar 1 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi mengelakkan kitaran letus-lawas atau "boom and bust cycle" dalam pembangunan keupayaan, menurut Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF).

MENGAPA IA PENTING

Semasa satu sidang media, Encik Heng berkata bahawa pelaburan S$25 bilion itu menggariskan komitmen Singapura untuk melabur dalam bidang penyelidikan, inovasi dan perusahaan. Ia juga akan membantu Singapura tampil lebih kukuh daripada krisis COVID-19 dan mewujudkan lebih banyak peluang lebih baik untuk perniagaan dan pekerja.

Ketua pegawai eksekutif NRF Low Teck Seng berkata: "Penting untuk menyedari bahawa untuk menangani sebuah krisis seperti ini, ia tidak tertakluk kepada perkembangan dalam masyarakat sains bioperubatan. Ia sebenarnya perkembangan dalam semua aspek teknologi."

Dorongan bagi Singapura menjadi sebuah pusat teknologi bermula dengan sebuah pelaburan lima tahun berjumlah S$2 bilion pada 1991.

Sejak itu, S$60.5 bilion sudah dilaburkan sepanjang enam pelan lima tahun, mengangkat martabat institusi dan para pengkaji Singapura di persada antarabangsa.

Singapura kini mempunyai 78 orang saintis yang berada dalam kalangan 1 peratus teratas dalam bidang masing-masing berdasarkan nukilan dan tahun, menurut satu senarai yang dikumpulkan oleh firma khidmat analisis Clarivate pada tahun ini.

Keupayaan sedemikian memainkan peranan penting dalam respons Singapura kepada COVID-19, membolehkan swab-swab yang dicipta menerusi kaedah cetakan 3D dan suntikan acuan, misalnya, bagi memenuhi keperluan untuk menjalankan ujian secara serta-merta.

Rawatan dan vaksin COVID-19 juga sedang dicipta di sini.

BIDANG PENYELIDIKAN

Sepanjang lima tahun mendatang, NRF menyatakan bahawa ia akan memperluaskan misi empat domain penyelidikan, inovasi dan perusahaan (RIE) dalam apa yang dikenali sebagai Pelan RIE 2025:

1. Pengilangan, Perdagangan dan Penyambungan

Dalam domain ini, tumpuannya sebelum ini adalah terhadap pembangunan keupayaan teknologi dalam sektor pengilangan dan kejuruteraan.

NRF kini akan juga menumpu kepada penerbangan, pengangkutan laut, logistik dan perdagangan borong.

Terdapat usaha untuk:
- Membangunkan keupayaan pengurusan trafik udara yang lebih maju dengan memanfaatkan alat-alat berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mempertingkatkan kesedaran situasi dan keupayaan para pengawal trafik udara membuat keputusan.

- Memacu automasi dan pendigitalan operasi lapangan terbang dan pelabuhan menggunakan AI, sensor bersepadu Internet Benda (IoT) dan sistem penglihatan

- Membangunkan teknologi penyahkarbonan untuk sektor penerbangan dan maritim

2. Kesihatan manusia dan potensi

Para penyelidik dalam domain ini lazimnya lebih tertumpu kepada pembangunan khidmat jagaan kesihatan lebih inovatif, perubatan atau alat peranti.

NRF kini juga akan memaksimumkan nilai ekonomi dan meningkatkan potensi manusia.

Terdapat rancangan untuk:
- Mengkaji golongan wanita dan kanak-kanak dalam fasa sebelum kehamilan, semasa kehamilan dan semasa fasa awal kanak-kanak untuk melihat bagaimana dapat mengurangkan risiko penyakit metabolisme seperti kencing manis, mempertingkatkan keupayaan seseorang untuk mengawal emosi ketika usia meningkat dan mempertingkatkan keupayaan pembelajaran mereka

- Melanjutkan kajian Membesar di Singapura Ke Arah hasil Sihat (Growing Up in Singapore Towards Healthy Outcomes atau Gusto) yang sedia ada - kajian kohort kelahiran terbesar di Singapura melibatkan lebih daripada 1,200 wanita hamil di Singapura - untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi tahap pembesaran dan kematangan kanak-kanak

- Membuka sebuah pusat "sains pembelajaran" yang baru di Institut Pendidikan Nasional (NIE), yang bertujuan menggabungkan penyelidikan dari pelbagai bidang seperti neurosains, psikologi dan pendidikan, dengan matlamat untuk mencipta intervensi yang dapat mempertingkat pembelajaran sepanjang hayat

3. Huraian dan kemampanan bandar

NRF menyatakan ia akan memperkukuh usaha-usaha sedia ada dalam domain ini, yang tertumpu kepada peningkatan keselamatan bekalan air Singapura dan pengurangan penggunaan tenaga dalam rawatan air terpakai, antara bidang lain, di samping menangani cabaran baru dalam kemapanan dan daya ketahanan.

Terdapat usaha untuk:
- Meneroka huraian dalam penyahkarbonan dengan menghasilkan huraian kos efektik dalam penggunaan dan penyimpanan hidrogen rendah karbon dan karbon.

- Mengurangkan kerentanan Singapura terhadap risiko dalam kitaran bekalan global sumber-sumber penting.

Ini akan dilakukan dengan memperluaskan usaha R&D untuk meliputi bidang tumpuan utama yang baru seperti teknologi pelanjutan jangka hayat.

- Membangunkan huraian bekalan air industri bagi memenuhi permintaan air bukan domestik

4. Negara bijak dan ekonomi digital

Dalam domain ini, NRF sebelum ini mengkaji bagaimana untuk mengukuhkan keupayaan Singapura dalam teknologi-teknologi seperti AI, keselamatan siber, teknologi kepercayaan dan teknologi kuantum.

Kini, NRF akan meneliti cara-cara untuk memajukan hasrat Singapura menjadi Negara Bijak dan mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah hab digital dan inovasi yang dipercayai.

Ini termasuk usaha untuk:
- Membentuk konsortium-konsortium teknologi untuk mencipta bersama harta intelek yang baru bersama pihak industri dan menghasilkan produk dan huraian dalam bidang-bidang seperti teknologi 5G

- Melabur dalam bidang persimpangan di seluruh teknologi digital seperti keselamatan siber 5G dan penggunaan AI dalam keselamatan siber

DOMAIN 'MEMANG DIJADIKAN DINAMIK'

Encik Heng berkata domain-domain tersebut memang dijadikan dinamik, dengan 15 peratus daripada belanjawan sebanyak S$25 bilion atau S$3.75 bilion, diperuntukkan dalam kategori yang diberi nama "ruang putih".

Ini akan "memberikan kami lebih banyak ruang bertindak dan kecerdasan untuk memberi respons kepada perubahan dalam landskap global dan teknologi", katanya. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan