Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura akan hadapi kemelesetan ekonomi tahun ini untuk tempoh yang sukar ditentukan: MAS

Singapura akan mengalami kemelesetan ekonomi tahun ini akibat pandemik COVD-19, menyebabkan kehilangan pekerjaan dan gaji lebih rendah dibayangi ketidaktentuan besar mengenai  tempoh dan kesan kegawatan itu, kata bank pusat tersebut pada Selasa (28 Apr). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Apr 2020 03:00PM Dikemas Kini : 28 Apr 2020 09:19PM

SINGAPURA: Singapura akan mengalami kemelesetan ekonomi tahun ini akibat pandemik COVD-19, menyebabkan kehilangan pekerjaan dan gaji lebih rendah dibayangi ketidaktentuan besar mengenai tempoh dan kesan kegawatan itu, kata bank pusat tersebut pada Selasa (28 Apr).

Bergantung kepada perkembangan pandemik itu dan keberkesanan dasar-dasar di seluruh dunia, pertumbuhan ekonomi Singapura bahkan mungkin menjunam di bawah ramalan antara -4 peratus dengan -1 peratus untuk merekodkan penguncupan paling teruk pernah dialami. Ini menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam penilaian makroekonomi separuh tahunannya.

Sebagai perbandingan, kemelesetan ekonomi terburuk Singapura sejauh ini adalah semasa Krisis Kewangan Asia pada 1998, apabila ekonomi menguncup 2.2 peratus. Pertumbuhan ekonomi sepenuh tahun adalah 0.1 peratus sewaktu krisis kewangan sejagat pada 2009 dan menyusut 1.1 peratus semasa keruntuhan dot.com pada 2001.

Ramalan suram itu dibuat sedang Singapura mengalami kejutan daripada penularan COVID-19.

Setakat ini, hampir 15,000 orang di Singapura dijangkiti COVID-19 dan 14 pesakit telah meninggal dunia. Hampir 85 peratus jangkitan itu terkait dengan dormitori pekerja asing.

Singapura sedang menjalani tempoh pemutus rantaian jangkitan untuk membendung penularan COVID-19. Tempoh itu pada asalnya dijadual berakhir pada 4 Mei tetapi ia dilanjutkan sehingga 1 Jun.

Semua tempat kerja dengan khidmat tidak penting ditutup dan penduduk dinasihati supaya jangan keluar rumah kecuali untuk membeli makanan dan barangan dapur atau bersenam berseorangan di kawasan kejiranan.

Langkah-langkah itu menjejas ekonomi, yang menguncup 2.2 peratus dari tahun ke tahun dalam tiga bulan pertama, menandakan suku negatif pertama sejak krisis kewangan global pada 2009.

MAS menyatakan ekonomi Singapura kemungkinan besar "menguncup lebih teruk" pada suku kedua memandangkan betapa serius pandemik itu dalam kalangan rakan perdagangannya, serta langkah pemutus jangkitan setempat yang berkuat kuasa awal bulan ini.

Tambahan lagi, ramalan itu "dibayangi dengan ketidaktentuan".

Ini kerana prospek Singapura bergantung kepada keadaan luaran seperti penularan dan bagaimana meluas virus itu serta kadar pemulihan daripada cabaran kesihatan dan ekonomi setiap negara, menurut bank pusat itu.

Sekalipun demikian, ia menarik perhatian, terdapat "pemahaman terbatas" tentang bagaimana keadaan COVID-19 boleh berkembang di peringkat sejagat. Ini menggambarkan bahawa kedalaman dan tempoh kemerosotan ekonomi Singapura, serta sejauh mana kukuh pemulihan pada akhirnya, masih belum diketahui.

MAS menambah bahawa tidak jelas jika penyakit itu akan reda secara global pada separuh kedua 2020 dan risiko gelombang jangkitan berikutnya tetap tinggi sehingga vaksin ditemui.

Singapura menghadapi risiko kemerosotan yang "ketara", iaitu kemungkinan langkah-langkah lebih ketat untuk membendung penularan virus, permintaan yang lemah dari rakan luar dan perbelanjaan lemah dalam kalangan pengguna.

Pertama, setiap pelaksanaan langkah-langkah pencegahan lebih ketat di seluruh dunia akan terus mengekang kegiatan ekonomi dan menghasilkan pertumbuhan yang lebih buruk dari yang dijangkakan untuk suku kedua. Sebarang kejatuhan di pasaran kewangan global juga boleh menghasilkan "lingkaran maklum balas negatif" dengan kesan mengejutkan pada ekonomi.

Kedua, jika pandemik itu mengambil masa lebih lama untuk dikawal dan penyambungan semula kegiatan ekonomi global ditunda, kelemahan yang berterusan dalam permintaan dunia pada akhirnya dapat menjejas waktu pemulihan.

Ketiga, pembendungan sepenuhnya mungkin lebih sukar dicapai memandangkan "sifat yang lebih menular tetapi kurang dapat dikesan" COVID-19 dibandingkan dengan wabak SARS pada 2003. Ketidakpastian yang berterusan ini dapat menyebabkan pengguna dan syarikat menangguhkan perbelanjaan, menyebabkan pemulihan global "lebih beransur-ansur" dan "kurang menentu".

MAS menyatakan "mana-mana gabungan" daripada tiga risiko itu, jika berlaku akan mengheret pertumbuhan ekonomi Singapura di bawah julat unjuran sekarang.

KEBANYAKAN SEKTOR KEKAL LEMAH

Meneliti sektor individu, MAS menyatakan kebanyakan kegiatan berkaitan perdagangan akan menyaksikan kemerosotan selanjutnya, diburukkan lagi oleh penurunan dalam permintaan luar dan gangguan rangkaian bekalan.

Satu pengecualian adalah industri yang mengeluarkan produk perubatan kerana pandemik telah meningkatkan permintaan untuk alat pernafasan, pelitup dan alat ujian.

Laporan bank pusat menyatakan bahawa beberapa talian pengeluaran yang berpangkalan di Singapura terlibat dalam pengeluaran sedemikian.

Ia menyatakan selain daripada firma Britain Dyson, yang dilaporkan membuat motor digital yang akhirnya akan dipasangkan ke ventilatornya, firma bukan perubatan lain, seperti Razer dan ST Engineering, sedang menubuhkan talian pengeluaran untuk menghasilkan pelitup.

Untuk perkhidmatan moden, pertumbuhan dijangka sederhana kerana penularan virus itu memudarkan prospek dalam sektor kewangan sementara melemahkan perbelanjaan korporat untuk khidmat-khidmat IT serta profesional.

Kegiatan dalam sektor berkaitan dengan pelancongan dan berciri domestik akan tetap ketinggalan, menurut bank pusat, sehingga ada tanda-tanda jelas bahawa pandemik itu terkawal untuk membolehkan langkah-langkah pengekangan dilonggarkan secara bertahap-tahap.

SOKONGAN KEWANGAN, FISKAL 'TEPAT PADA MASANYA'

Sejauh ini, MAS menyatakan, terdapat sokongan "bersepadu dan tepat pada masanya" dari segi dasar-dasar kewangan, fiskal dan pengawalseliaan.

Merujuk kepada keputusannya untuk melonggarkan dasar kewangan dalam langkah dua dalam satu bulan lalu, MAS menyatakan ia telah "menetapkan kadar pertukaran pada tahap yang wajar untuk mencegah tekanan penurunan inflasi meluas".

Ia juga mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan kecairan sistem kewangan, melonggarkan syarat peraturan bagi bank dan bekerjasama dengan industri kewangan untuk meringankan syarat-syarat pinjaman bagi syarikat dan isi rumah.

Bank pusat menegaskan bahawa dasar fiskal akan memainkan "peranan utama" dalam mengurangkan kesan kemelesetan ekonomi dengan menarik perhatian tentang bagaimana Pemerintah melancarkan tiga Belanjawan bernilai hampir S$60 bilion dalam jangka waktu sembilan minggu. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan