Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura akan ganti kad ketibaan pengunjung dengan versi elektronik

Tidak lama lagi, warga asing yang mengunjungi Singapura tidak perlu mengisi kad ketibaan dan sebaliknya boleh menyerahkan maklumat mereka secara online sebelum melakukan perjalanan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Oct 2018 03:23PM Dikemas Kini : 03 Oct 2018 10:59PM

SINGAPURA: Tidak lama lagi, warga asing yang mengunjungi Singapura tidak perlu mengisi kad ketibaan dan sebaliknya boleh menyerahkan maklumat mereka secara online sebelum melakukan perjalanan.

Kad sedemikian, yang warga asing perlu menyerahkan apabila memasuki Singapura, mengandungi maklumat seperti nombor pesawat dan alamat mereka ketika berada di Singapura.

Dengan kad elektronik itu, para pengunjung boleh menyerahkan maklumat peribadi serta maklumat perjalanan melalui laman Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) atau melalui aplikasi mudah alih sebelum mereka tiba di Singapura, menurut ICA dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu (3 Okt).

Mereka hanya perlu menggunakan pasport mereka bagi pelepasan imigresen apabila mereka tiba di Singapura. Kad ketibaan elektronik yang diisi lebih awal itu boleh diakses menerusi sistem imigresen ICA.

ICA menyatakan bahawa ujian terhadap sistem elektronik itu akan dijalankan selama tiga bulan, mulai Khamis (4 Okt). Ujian itu akan dijalankan di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas, Lapangan Terbang Changi serta empat terminal kapal pesiaran dan feri Singapura.

Para warga asing yang tiba di pusat-pusat pemeriksaan tersebut namun belum lagi mengisi kad ketibaan mungkin diminta untuk menyertai ujian itu serta memberikan maklum balas.

(Gambar: ICA)

Ujian tersebut tidak akan melibatkan rakyat Singapura, penduduk tetap dan para pemegang pas jangka panjang seperti para pelajar dan pekerja yang pulang ke Singapura, kerana mereka tidak perlu menyerahkan sebarang kad sedemikian.

CIRI MESRA PENGUNJUNG

Kad-kad elektronik, yang disediakan dalam pelbagai bahasa asing, itu akan membolehkan mereka yang mengunjungi Singapura dengan ahli keluarga mereka atau bersama kumpulan kecil untuk menyerahkan maklumat mereka secara berkumpulan sekali sahaja.

Aplikasi mudah alih juga membolehkan para pengunjung untuk menyimpan maklumat yang sudahpun diserahkan sebelum ini bagi lawatan-lawatan ke Singapura pada masa akan datang.

(Gambar: ICA)

"Kad ketibaan elektronik itu akan meningkatkan keberkesanan operasi dan ia adalah satu langkah penting bagi merealisasikan visi ICA untuk menghentikan penggunaan kertas bagi pelepasan imigresen," menurut ICA sambil menambah bahawa langkah berkenaan juga akan menjimatkan sehingga 48 juta kad kertas setiap tahun. 

Lebih banyak maklumat mengenai pelaksanaan kad elektronik itu akan diumumkan setelah ujian tersebut selesai dijalankan, menurut ICA lagi.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan