Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S Nurathirah dan Maya Raisha antara pelajar cemerlang GCE 'A' tahun ini

S Nurathirah S Jumat muncul sebagai pelajar terbaik Institut Millenia setelah mendapat 6 gred A kesemuanya. Maya Raisha Zainudin pula cemerlang setelah lulus dengan 3 gred A bagi subjek H2.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pembelajaran dari rumah (HBL) tahun lalu jelas memberi cabaran berbeza kepada kedua-dua pelajar Institut Millenia, S Nurathirah S Jumat dan Ahmat Firz Zulkifli.

Menginap di flat tiga bilik yang didiami tujuh anggota keluarganya, Athirah terpaksa belajar dalam ruang yang agak sempit dan bising, semasa persiapan menduduki GCE 'A'.

"Selalunya selepas mereka dah tidur dalam pukul 1.00 pagi, 2.00 pagi, baru saya akan buat kerja rumah saya dan belajar," kongsinya.

Namun Athirah yang pernah mengulangi tahun pertamanya di institut itu, bertekad fokus mahu membanggakan ibu bapanya.

S Nurathirah (Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Hasilnya cukup lumayan! Kapten pasukan bola sepak wanita sekolahnya itu berjaya muncul sebagai pelajar terbaik Institut Millenia, dengan mendapat 6 gred A kesemuanya - tiga A bagi subjek H2, tiga A bagi subjek H1 dan satu gred B bagi subjek H1.

"Sebenarnya saya masih rasakan bahawa perkara ini seperti mimpi. Rahsia kejayaan saya ialah untuk terus tabah dengan cabaran. Terus cuba, dan terus cuba," kongsi Athirah tentang kejayaannya itu.

GANGGUNG DISLEKSIA TIDAK MENGHAMBAT AHMAD FIRZ

Bagi Ahmat Firz Zulkifli pula, yang mengalami gangguan disleksia sejak sekolah rendah, HBL memaksanya bekerja lebih keras daripada kebanyakan pelajar lain.

Manakan tidak, pelajar Institut Millenia itu perlu mengulangi setiap bacaan berulang kali demi benar-benar memahami sesuatu konsep dan tidak terkeliru dengan perkataan-perkataan yang dipaparkan. Masalah tersebut merupakan isu pembelajaran yang lazim dialami penghidap disleksia.

Ahmad Firz (Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

"Saya dapat mengawalnya dengan sering menggunakan jari telunjuk untuk kenal pasti perkataan, berbincang dengan guru dan membuat banyak kertas latihan sebelum setiap peperiksaan," jelas Ahmat.

Malah dia juga mencabar dirinya dengan mendaftar dan mengimbangi pelbagai kursus online antarabangsa, antara lain dalam bidang Farmakologi dari Sekokah Perubatan Harvard, bagi meneroka bidang-bidang yang beliau minati.

Keputusan GCE 'A' Ahmat akhirnya membuktikan betapa dia cukup berhasil mengatasi segala kesukaran tersebut. Dia boleh berbangga kerana meraih dua gred B bagi subjek H2 dan dua gred A bagi subjek H1.

Malah Ahmat juga sudahpun ditawarkan kemasukan bagi mengikuti kursus Dasar Awam dan Ehwal Global di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) menerusi Pendaftaran Kemasukan Awal.

MAYA RAISHA ZAINUDIN - PELAJAR SERBA BOLEH

Seorang lagi pelajar cemerlang dalam peperiksaan GCE 'A' kali ini ialah Maya Raisha Zainudin dari Maktab Rendah Eunoia.

(Dari kiri) S Nurathirah, Ahmad Firz dan Maya Raisha.

Berkat cukup berdisiplin, dia berjaya mengimbangi masa untuk pelajaran meskipun terlibat dalam pelbagai komitmen bukan akademik.

Penerima Biasiswa Elektif Bahasa Perancis Kementerian Pendidikan (MOE) dan pengasas band rok di sekolahnya ini meraih tiga gred A bagi subjek H2.

Dia ada 'senjata' yang digunakannya dengan 'berani' - sesuatu yang mungkin sukar dilakukan ramai belia lain.
"Beberapa bulan sebelum peperiksaan saya, saya mengambil keputusan untuk memadamkan semua media sosial daripada telefon bimbit saya supaya mengurangkan gangguan dari Instagram, Twitter," kongsi Maya kepada BERITAmediacorp.

Selain berhasrat meneruskan pengajian Sarjana Muda dalam bidang Psikologi, pelajar serba boleh ini turut berazam membantu lebih ramai orang mengatasi masalah mental melalui terapi muzik.

Maya Raisha (Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

(Gambar-gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Ketiga-tiga mereka adalah antara lebih 11,600 pelajar yang menduduki GCE 'A' tahun lalu.

Kohort 2020 ini mencatat satu rekod baru apabila 93.6% pelajar yang menduduki peperiksaan itu berjaya lulus sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran H2 berserta Kertas Am atau Pengetahuan dan Penyelidikan.

Ini berbanding 93.4% bagi kohort 2019 dan 93.3% bagi 2018. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan