Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S$31 bilion dikeluarkan daripada rizab negara bagi Belanjawan Kecekalan

Pemerintah Singapura akan mengeluarkan S$31 bilion daripada rizab negara untuk membiayai langkah-langkah dalam Belanjawan Kecekalan, dengan jumlah lebih besar diperuntukkan bagi keadaan luar jangkaan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 May 2020 06:03PM Dikemas Kini : 27 May 2020 10:52PM

SINGAPURA: Pemerintah Singapura akan mengeluarkan S$31 bilion daripada rizab negara untuk membiayai langkah-langkah dalam Belanjawan Kecekalan, dengan jumlah lebih besar diperuntukkan bagi keadaan luar jangkaan.

Secara keseluruhannya, Singapura menggunakan S$52 bilion daripada rizab negara bagi tahun kewangan ini - satu jumlah yang belum pernah berlaku sebelumnya.

Presiden Halimah Yacob memberikan persetujuan secara prinsip bagi menggunakan rizab itu.

Belanjawan Kecekalan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Selasa (26 Mei) adalah Belanjawan keempat bagi 2020 dan ia akan bernilai S$33 bilion.

DANA LUAR JANGKAAN LEBIH BESAR

Setiap tahun, Singapura memperuntukkan S$3 bilion sebagai dalam Dana Luar Jangkaan dan Dana Perkembangan Luar Jangkaan.

Satu pertambahan S$13 bilion akan diperuntukkan supaya Pemerintah dapat memberikan respons pantas kepada keperluan mendesak dan tidak terduga, kata Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan.

"Ini termasuk langkah-langkah kesihatan awam atau fiskal yang harus dilaksanakan dengan cepat jika keadaan perubatan atau ekonomi semakin memburuk. Kami akan melakukan yang terbaik untuk mengelakkan ini daripada berlaku tetapi kita harus bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan."

Encik Heng menambah penggunaan dana luar jangkaan ini tertakluk kepada tadbir urus dan kebertanggungjawaban yang betul.

Di bawah Perlembagaan, Menteri Kewangan boleh mengeluarkan dana dari akaun tersebut jika menteri berkenaan merasa yakin bahawa ada keperluan mendesak serta keadaan tidak terduga untuk perbelanjaan dan Presiden setuju dengan perlunya membuat pendahuluan tersebut.

Jumlah pendahuluan itu seharusnya dimasukkan dalam Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan atau Rang Undang-undang Perbekalan Muktamad yang akan dibentangkan kepada serta diundi oleh Parlimen sebaik sahaja ia boleh dilaksanakan.

"Pendekatan ini tepat dan bijaksana memandangkan keadaan bertukar-tukar yang mungkin memerlukan (pemerintah) bertindak cepat dalam beberapa bulan mendatang," kata Encik Heng.

HAMPIR S$100 BILION DIPERUNTUK BAGI 4 BELANJAWAN

Dengan Belanjwan Perpaduan, Belanjawan Berdaya Tahan, Belanjawan Kesepakatan serta Belanjawan Kecekalan, kesemua empat belanjawan itu berjumlah S$92.9 bilion atau 19.2 peratus daripada hasil kasar dalam negeri (GDP) Singapura.

"Untuk belanjawan-belanjawan Perpaduan, Berdaya Tahan dan Kesepakatan, kami menggunakan hampir kesemua jumlah lebihan terkumpul kami sejak awal penggal pemerintahan ini. Namun, apa yang kita perlukan untuk menangani dengan berkesan cabaran COVID-19 telah bertambah sehingga kami tidak mempunyai pilihan selain menggunakan rizab," kata Encik Heng di Parlimen.

Dalam Belanjawan Berdaya Tahan dan Belanjawan Kesepakatan, Presiden memberi persetujuan untuk menggunakan sehingga S$21 bilion daripada rizab masa lalu.

Defisit belanjawan keseluruhan bagi FY2020 akan meningkat kepada S$74.3 bilion atau 15.4 peratus daripada GDP. Ini naik daripada S$44.3 bilion atau 8.9 peratus daripada GDP.

"Ini adalah defisit belanjawan keseluruhan terbesar dalam sejarah Singapura sejak kemerdekaan," kata Encik Heng.

Beliau menambah meskipun jumlah yang dikeluarkan daripada rizab itu satu jumlah yang besar, Singapura mempunyai sumber fiskal untuk meningkatkan respons tersebut.
 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan