Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S$2.54 juta berjaya diperolehi dari penipuan emel perniagaan

Sekitar S$2.54 juta berjaya didapatkan semula sepenuhnya setelah penipuan melalui kiriman emel dipatahkan oleh Pusat Anti-Penipuan (ASC) Pasukan Polis Singapura (SPF), Citibank Singapore dan RHB Bank Singapore.

Anggaran Waktu Membaca:
S$2.54 juta berjaya diperolehi dari penipuan emel perniagaan

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 22 Dec 2020 10:39PM Dikemas Kini : 22 Dec 2020 10:41PM

SINGAPURA: Sekitar S$2.54 juta berjaya didapatkan semula sepenuhnya setelah penipuan melalui kiriman emel dipatahkan oleh Pusat Anti-Penipuan (ASC) Pasukan Polis Singapura (SPF), Citibank Singapore dan RHB Bank Singapore.

Citibank pertama kali memaklumkan pihak polis mengenai kes yang disyaki adalah pengubahan wang haram pada Jumaat (18 Dis), menurut SPF dalam kenyataan medianya pada Selasa.

Citibank dihubungi oleh sebuah bank asing yang meminta AS$1.9 juta (sekitar S$2.54 juta) ditarik balik yang kononnya dipindahkan ke akaun RHB Bank Singapore milik sebuah entiti korporat asing, menurut SPF.

Siasatan awal menunjukkan bahawa pemindahan dana itu dikaitkan dengan penipuan berbentuk emel perniagaan.

"Setelah menerima maklumat itu, ASC dengan pantas membekukan akaun RHB Bank Berhad Singapore itu,"menurut SPF, membawa kepada "pemulangan wang sepenuhnya".

"Kerjasama polis dengan bank-bank berkenaan membuktikan betapa pentingnya kerjasama yang kukuh dengan pihak-pihak berkepentingan dalam masyarakat untuk membanteras dengan berkesan sebarang bentuk penipuan dan penipuan rentas sempadan," tambah SPF.

SPF turut memuji Citibank dan RHB Bank Singapore atas "bantuan yang tidak ternilai" dalam mendapatkan semula dana tersebut.

SPF menasihati orang ramai dan entiti-entiti perniagaan supaya berwaspada dan berhati-hati terhadap penipuan sedemikian.

Sehubungan itu, SPF mengingatkan syarikat-syarikat supaya mengambil langkah-langkah pencegahan jenayah, termasuk mendidik kakitangan supaya memerhatikan perubahan baru atau secara mendadak pada arahan berhubung pembayaran dan akaun bank.

"Pastikan anda sentiasa mengesahkan arahan ini dengan menghubungi pengirim emel. Sentiasa gunakan nombor telefon dalam rekod anda, dan bukannya nombor yang tidak diketahui yang terdapat dalam emel palsu," tambah SPF.

Menurut pihak berkuasa, syarikat-syarikat juga harus meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja mengenai penipuan seperti itu, terutama sekali mereka yang bertanggungjawab untuk meluluskan pembayaran dan memindahkan dana.

"Sekiranya para pekerja bekerja dari rumah ... pastikan mereka menetapkan pelbagai bentuk pemeriksaan tambahan sebelum pembayaran dan pemindahan dana dilakukan," menurut SPF lagi.

Syarikat-syarikat juga harus menggunakan kata laluan yang sulit untuk akaun emel mereka, menukarnya secara berkala dan mengaktifkan pengesahan dua faktor jika perlu.

Mereka juga harus menimbangkan untuk memasang sofwe yang berupaya melindungi akaun-akaun mereka daripada serangan siber, nasihat SPF.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan