S$159.1 juta disalurkan MediFund kepada rakyat S'pura memerlukan pada tahun kewangan 2019
Dana Endowmen Perubatan (MediFund) menyediakan S$159.1 juta dalam bantuan jagaan kesihatan kepada rakyat Singapura yang memerlukan pada tahun kewangan lalu yang berakhir 31 Mac, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (30 Dis).
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Dana Endowmen Perubatan (MediFund) menyediakan S$159.1 juta dalam bantuan jagaan kesihatan kepada rakyat Singapura yang memerlukan pada tahun kewangan lalu yang berakhir 31 Mac, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (30 Dis).
Jumlah itu merupakan tambahan sebanyak S$2.6 juta daripada dana S$156.5 juta yang diagihkan pada tahun kewangan 2018.
MediFund yang diperkenalkan pada 1993, membantu rakyat Singapura memerlukan yang tidak mampu membayar bil perubatan mereka selepas diberi subsidi pemerintah, MediShield Hayat dan MediSave.
Terdapat lebih 1.2 juta permohonan yang berjaya mendapatkan bantuan itu pada tahun kewangan yang lalu, membentuk 99.7 peratus daripada permohonan yang diterima, menurut MOH.
Jumlah permohonan yang diluluskan pula sebanyak 23,769, kurang sedikit berbanding tahun kewangan 2018.
Jumlah bantuan yang lebih tinggi disebabkan bantuan yang ditawarkan dilanjutkan kepada pesakit dalam kemudahan jagaan jangka panjang dan pertengahan, termasuk golongan warga emas, menurut MOH.
Dana bantuan sebanyak S$36.2 juta dihulurkan kepada pesakit dalam kemudahan sedemikian, naik 12.1 peratus berbanding S$32.3 juta pada tahun kewangan 2018.
Sebahagian besar jumlah bantuan disalurkan kepada pesakit di hospital dan institusi awam, di mana bantuan sebanyak S$122.8 juta diagihkan, berbanding S$124.2 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Secara purata, jumlah bantuan MediFund yang disediakan adalah sekitar S$900 bagi setiap rawatan untuk pesakit dalam hospital dan sekitar S$90 bagi setiap rawatan pesakit luar, menurut MOH.
MOH menambah ia akan terus bekerja rapat dengan Jawatankuasa MediFund untuk mengurus dan mengendalikan skim itu, bagi memastikan rakyat Singapura yang memerlukan menerima "bantuan tepat pada masanya" untuk membayar bil perubatan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.