Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S$13 juta gaji tertunggak, pampasan akibat pemberhentian secara salah dibayar kepada pekerja

Sekitar S$13 juta gaji tertunggak dan pampasan disebabkan pemberhentian pekerja secara salah berhasil diperolehi oleh Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM) dan dibayar kepada para pekerja dalam tahun kewangan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
S$13 juta gaji tertunggak, pampasan akibat pemberhentian secara salah dibayar kepada pekerja

Pekerja pejabat di sebuah jambatan bawah tanah di daerah perniagaan pusat Singapura pada 29 April 2021. (Gambar fail: Calvin Oh)

Diterbitkan : 18 Oct 2021 02:55PM Dikemas Kini : 18 Oct 2021 02:57PM

SINGAPURA: Sekitar S$13 juta gaji tertunggak dan pampasan disebabkan pemberhentian pekerja secara salah berhasil diperolehi oleh Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM) dan dibayar kepada para pekerja dalam tahun kewangan lalu.

Dalam laporan tahunan yang diterbitkan hari ini (18 Okt), Tripartite Alliance Limited (TAL), menyatakan lebih 90 peratus pekerja sudah dibayar gaji yang tertunggak.

TAL terdiri daripada tiga unit perniagaan - iaitu TADM, Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) dan Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH).

Pada tahun kewangan itu, TADM juga mempertingkatkan dana bantuan jangka pendek yang menyediakan bantuan kewangan untuk membantu para pekerja bergaji rendah yang majikan mereka tidak dapat membayar gaji.

"Dengan bantuan dipertingkat itu, dana tersebut kini diperluaskan daripada 20 peratus kepada separuh tenaga kerja, dan kuantum sokongan dinaikkan daripada S$1,000 kepada sehingga dua bulan gaji, dihadkan pada S$4,600, bergantung kepada pendapatan pekerja," menurut TAL.

TAFEP juga menyaksikan lebih 10,000 syarikat mengamalkan sekurang-kurangnya satu piawai perikatan tiga pihak, sekali gus dapat dimanfaatkan oleh lebih sejuta pekerja.

Ini termasuk mengamalkan piawaian perikatan tiga pihak dari segi aturan kerja fleksibel, menyusuli pengumuman Geran Mengimbangi Kerja dan Kehidupan bagi mengekalkan pelaksanaan aturan sedemikian "semasa dan menjangkaui pandemik", menurut TAL.

Lebih ramai pekerja dan pemohon kerja juga dibantu oleh TAFEP berhubung hal-hal pekerjaan.

Majlis WSH menyatakan bahawa hampir 38,000 syarikat menyertai BizSAFE, iaitu sebuah program pembangunan keupayaan yang dilakar untuk membantu syarikat-syarikat membangunkan keupayaan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

TAL menambah bahawa ia melaksanakan perubahan pada tahun kewangan itu dari segi bagaimana ia menyediakan khidmat dan mendampingi para majikan serta pekerja supaya "ia boleh memenuhi cabaran pandemik COVID-19".

Ini termasuk TADM menganjurkan khidmat pengantaraan dan penasihat menerusi wadah elektronik dan telefon. Ini membolehkan para majikan dan pekerja untuk menyelesaikan sebarang perselisihan tanpa perlu bertemu muka.

TAFEP juga mula mendampingi para majikan yang melaksanakan pemberhentian kerja "bagi membantu mereka melakukannya sejajar dengan nasihat-nasihat perikatan tiga pihak", serta membantu menyelesaikan pertikaian berkaitan pampasan pemberhentian pekerja.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan