S$120 juta dana R&D diperuntuk bagi kurangkan pengeluaran gas karbon sektor maritim S'pura
Sebanyak S$120 juta diperuntukkan bagi mencari cara-cara mengurangkan pengeluaran gas karbon dalam sektor maritim Singapura.

Kapal-kapal maritim berlabuh di perairan Singapura berdekatan kilang penapisan petroleum di Pulau Bukom. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)
SINGAPURA: Sebanyak S$120 juta diperuntukkan bagi mencari cara-cara mengurangkan pengeluaran gas karbon dalam sektor maritim Singapura.
Ia termasuk menubuhkan pusat pengurangan karbon untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kerja global serta menguji huraian-huraian baru.
Sejauh ini, enam firma bersetuju menyumbang S$10 juta setiap satu manakala Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura pula menyumbang baki S$60 juta.
Menteri Negara Kanan Pengangkutan Chee Hong Tat berkata pusat itu sudah boleh mula beroperasi meskipun tempat fizikalnya masih dicari.
Pusat itu adalah satu daripada sembilan cadangan panel penasihat antarabangsa untuk menjadikan sektor maritim Singapura lebih mesra alam.
Ini termasuk memastikan infrastruktur pelabuhan buat peresiapan untuk menggunakan bahan pembakar sifar-karbon serta meneroka pembiayaan mesra alam dan penetapan harga bagi karbon.
Sektor maritim diharap dapat menepati atau menjangkaui sasaran tahun 2050 yang ditetapkan Pertubuhan Maritim Antarabangsa untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau sehingga 50 peratus.
Pada masa sekarang, kegiatan perkapalan global menyumbang kepada 2.5 peratus daripada keseluruhan pengeluaran gas rumah hijau yang boleh menaikkan suhu bumi.
Cadangan yang diberikan juga menyeru rakan-rakan kerja global untuk menguji huraian baru bersama.
Salah satu kerjasama yang ditandatangani adalah untuk menguji sel-sel bahan api hidrogen bagi penggunaan kapal.
Panel penasihat itu berharap cadangan mereka dapat dilaksanakan secara serentak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.