Skip to main content

Singapura

RWS didenda S$2.25 juta kerana langgar peraturan

Anggaran Waktu Membaca:
RWS didenda S$2.25 juta kerana langgar peraturan

(Gambar: Christy Yip)

Diterbitkan : 08 Dec 2023 10:59PM Dikemas Kini : 09 Dec 2023 09:47AM
SINGAPURA: Resorts World Sentosa (RWS) didenda S$2.25 juta oleh Penguasa Pengawalan Perjudian (GRA) kerana gagal melakukan pemeriksaan ketika menerima wang tunai S$5,000 atau lebih daripada pihak ketiga, untuk dimasukkan ke dalam akaun pelanggan.

Pengendali kasino diwajibkan untuk melakukan pemeriksaan ke atas mereka yang memasukkan duit apabila pengendali menerima wang tunai bernilai S$5,000 atau lebih, menurut GRA dalam satu kenyataan media pada Jumaat (8 Dis).

Setakat ini, denda tersebut merupakan yang paling tinggi yang dikenakan GRA ke atas pengendali kasino.

Pada 2020, GRA mengarahkan pengendali kasino RWS dan Marina Bay Sands supaya melakukan semakan semula ke atas "aktiviti pelanggan tertentu". RWS kemudian mendapati beberapa urus niaga yang tidak mematuhi peraturan dan melaporkannya kepada GRA.

Siasatan lanjut dilakukan oleh GRA mendedahkan bahawa antara Disember 2016 dengan Disember 2019, RWS gagal menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa urus niaga, di mana kakitangannya menerima wang tunai bernilai S$5,000 atau lebih daripada pihak ketiga untuk memasukkan ke dalam akaun pelanggan RWS.

"RWS tidak mencatat maklumat pengenalpastian yang diperlukan, ia juga tidak mengesahkan identiti tersebut menggunakan sumber yang boleh dipercayai dan bebas seperti yang diperlukan di bawah Peraturan Kawalan Kasino (Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan)," tambahnya.

Terdapat kegagalan pada sistem dalam "kawalan tertentu", yang mengakibatkan RWS gagal mengesan kesalahan tersebut, kata seorang pengawal selia.

GRA sudah membatalkan lesen pekerja khas salah seorang kakitangan yang terlibat dalam kesalahan tersebut.

Lesen pekerja kasino khas dikeluarkan oleh GRA kepada individu yang bekerja dalam acara berkaitan kasino atau membuat keputusan mengenai operasi kasino.

Ia sedang menjalankan siasatan lanjut untuk menilai kesalahan kakitangan lain yang terlibat.

Ia menambah bahawa RWS sudah mengambil tindakan segera untuk memperbaiki prosesnya dan melibatkan pihak bebas untuk menyemak prosedur operasi standard (SOP) mereka.

Genting Singapore, yang memiliki RWS, menyatakan dalam satu dokumen di Bursa Saham Singapura (SGX), bahawa tiada bukti jenayah atau pengubahan wang haram, dan tiada laporan polis dibuat.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita