Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RWS bakal perluas SEA Aquarium, Universal Studios; 3 hotel pula jalani ubah elok

Daya tarikan baru itu adalah sebahagian daripada pelan peluasan "RWS 2.0" yang pertama kali diumumkan pada 2019.

Anggaran Waktu Membaca:
RWS bakal perluas SEA Aquarium, Universal Studios; 3 hotel pula jalani ubah elok

Lakaran pelukis bagi Singapore Oceanarium di Resorts World Sentosa. (Gambar: Resorts World Sentosa)

SINGAPURA: Para pengunjung ke Resorts World Sentosa (RWS) tidak lama lagi akan dapat meneroka zon bertemakan Minion di Universal Studios Singapore dan akuarium air laut yang jauh lebih besar daripada SEA Aquarium yang sedia ada.

Daya tarikan baru itu adalah sebahagian daripada pelan peluasan "RWS 2.0" yang pertama kali diumumkan pada 2019, menurut Resorts World Sentosa dalam kenyataan medianya pada Khamis (17 Feb).

"Universal Studios Singapore akan menampilkan zon bertema baru yang menawarkan pengalaman langsung atau imersif, iaitu Minion Land. Pada masa yang sama, SEA Aquarium akan dipertingkatkan dengan ketara dan diberi jenama baru sebagai Singapore Oceanarium (SGO)," menurut resort itu.

"Daya tarikan yang dinaik taraf itu akan membentuk dua komponen utama RWS 2.0 dan dijangka menjadi ikon-ikon pelancongan dan tujuan wisata baru bagi Singapura."

Resort tersebut juga mengumumkan rancangan untuk mengubah elok tiga hotelnya - Hard Rock Hotel Singapore, Hotel Michael dan Festive Hotel - serta pusat konvensyennya.

"Termasuk kerja-kerja ubah elok, kerja-kerja binaan akan dimulakan dengan sekitar S$400 juta untuk dibelanjakan sebagai pelaburan projek pada 2022," dedahnya.

Kerja-kerja binaan dan ubah elok akan bermula pada suku kedua tahun ini.

DAYA TARIKAN YANG DIPERLUAS

Transformasi SEA Aquarium kepada Singapore Oceanarium akan menyaksikan peluasan tiga kali lebih besar berbanding saiz sekarang. Kemudahan baru itu akan memberi tumpuan kepada pendidikan marin dan perlindungan sekitaran.

singapore oceanarium
(Gambar: RWS)


Singapore Oceanarium juga akan menampilkan pusat kajian dan pembelajaran neutral karbon.

SEA Aquarium akan terus dibuka semasa kerja-kerja peluasan, yang akan dijalankan pada separuh kedua tahun ini.

Minion Land yang baru, yang dibina berdasarkan watak-watak daripda francais Despicable Me, akan mempunyai beberapa permainan baru, termasuk "permainan pertama dunia yang eksklusif kepada Universal Studios Singapura" serta permainan 3D simulator gerakan, Despicable Me Minion Mayhem.

minion land
(Gambar: RWS)


Kedai-kedai dan restoran-restoran bertema juga akan disediakan di zon baru itu.

UBAH ELOK HOTEL

Festive Hotel akan menyaksikan perubahan terbesar sebagai sebahagian daripada kerja-kerja ubah elok hotel di Resorts World Sentosa, yang akan bermula pada suku kedua tahun ini dan sepanjang tahun depan.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga hotel itu mempunyai lebih 1,200 bilik hotel. Resort itu juga menyatakan pihaknya merancang untuk mengubah elok dan menaik taraf Pusat Konvensyen Resorts World Sentosa.

CEO Resorts World Sentosa Tan Hee Teck berkata rancangan peluasan itu akan meletakkan resort tersebut dalam kedudukan baik sedang industri pelancongan Singapura pulih daripada kesan pandemik COVID-19.

"Dengan pembangunan RWS 2.0 yang akan datang, kami yakin RWS akan berada di kedudukan baik untuk membuka jalan bagi pemulihan pelancongan Singapura sedang sempadan dibuka secara bertahap-tahap," kata beliau.

"Kami teruja mengalu-alukan lebih ramai pengunjung antarabangsa dengan RWS yang lebih bertenaga dalam masa terdekat."

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan