Rusuhan Choa Chu Kang: 13 lelaki akan didakwa; bergaduh guna senjata berbahaya
Seramai 13 lelaki akan didakwa hari ini (29 Feb) setelah beberapa senjata termasuk sebilah pisau dan buku lima yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan di Choa Chu Kang pada Khamis (27 Feb).
(Petikan video yang tular di media sosial menunjukkan rusuhan yang berlaku di Choa Chu Kang.)
SINGAPURA: Seramai 13 lelaki akan didakwa hari ini (29 Feb) setelah beberapa senjata termasuk sebilah pisau dan buku lima yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan di Choa Chu Kang pada Khamis (27 Feb).
Kesemua lelaki itu berusia antara 17 dengan 28 tahun, menurut kenyataan polis hari ini (29 Feb).
Polis dimaklumkan mengenai satu kejadian rusuhan di 10 Choa Chu Kang Way pada sekitar 2.30 petang pada Khamis.
Suspek-suspek kemudian ditangkap di beberapa lokasi di Jalan Bukit Merah, West Coast Road, Yishun, Bukit Batok dan Lower Kent Ridge Road.
"Para pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Divisyen Polis Jurong mengenal pasti identiti 13 lelaki itu dan menangkap mereka dalam tempoh 28 jam," menurut kenyaan polis.
Senjata-senjata termasuk sebilah pisau, buku lima, palang besi dan batang besi yang dipercayai digunakan dalam rusuhan itu turut dirampas.
"Polis tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan ganas seperti itu dan terhadap mereka yang mengabaikan undang-undang dengan sengaja. Polis akan menangkap para pesalah dan mereka akan dihukum setimpal dengan undang-undang negara," menurut polis.
Lima daripada lelaki itu akan didakwa dengan tuduhan merusuh menggunakan senjata berbahaya, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan disebat.
Baki lapan individu akan didakwa kerana menyertai perhimpunan haram dengan senjata berbahaya.
Jika didapati bersalah, mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga lima tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan daripada hukuman itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.